HomeMV+BongkarWarga Bangladesh dipercayai urus sindiket pengemis

Warga Bangladesh dipercayai urus sindiket pengemis

BANGI: Sindiket pengemis membabitkan warga asing dipercayai diuruskan oleh warga Bangladesh.

Ia diakui sendiri oleh seorang wanita warga emas yang mengaku berasal dari Thailand, ketika menjual keropok yang digorengnya sendiri kepada pelanggan di sebuah kedai makan, di Seksyen 7, di sini.

Wanita yang berpakaian tudung labuh, memakai pelitup muka itu pada mulanya mendakwa dari Bandar Seri Putra dan menjalankan modus operandinya, sekitar Bangi.

Dakwanya, dia akan menggunakan perkhidmatan e-hailing, Grab ke Seksyen 7 dengan kos RM50 pergi balik setiap hari, sambil membawa sekurang-kurangnya 25 pek keropok goreng untuk dijual kepada pelanggan di kedai makan.

“Hasil jualan minimum RM100 dengan menjual keropok. Saya akan bergerak dari restoran ke restoran lain. Kadang kala akan dihalau pihak berkuasa,” katanya ketika ditanya wartawan MEDIA VARIASI.

Lanjut bercerita, wanita itu secara tidak sengaja mendedahkan ada rakannya yang lain bersama bos mereka dan sudah menjalankan kegiatan itu selama bertahun-tahun.

“Ada yang lain (rakannya) dipanggil pulang untuk makan (rehat sementara) sebelum datang semula ke sini.

“Ada bangla basuh kereta (pengusaha cuci kereta warga Bangladesh), panggil mereka (dipercayai juga pengemis sama bekerja cuci kereta) dan kemudian datang semula ke sini,” katanya.

MEDIA VARIASI dalam siri pertama Bongkar sebelum ini melaporkan, penulis didatangi sindiket pengemis diwakili dua wanita mengaku warga Myanmar menjual buku yang dibekalkan bosnya ketika sedang makan di sebuah restoran di Bangi.

Berada di restoran sama hampir dua jam bermula jam 3 petang itu, datang pula wanita warga Thailand berkenaan.

Bagaimanapun ‘mengganggu’ orang ramai yang sedang menghadap rezeki masing-masing dilihat tidak sopan dan tidak beradab.

Kehadiran sindiket pengemis ketika orang ramai sedang menghadap rezeki masing-masing dilihat sebagai satu gangguan awam yang menimbulkan ketidakselesaan suasana.

Ada yang datang membawa tisu, buku, pen, jam tangan, minyak wangi, makanan ringan, ada yang kurang upaya (OKU) seperti buta ditemani ‘jurupandu’, ada yang tidak membawa apa-apa kecuali sekeping nota mendakwa dirinya OKU dan mohon bantuan.

IKUTI SIRI KETIGA SINDIKET PENGEMIS DI MEDIA VARIASI

Author

Pilihan Editor