HomeBeritaViralYoutuber 'up' video rai kejayaan atas puncak, Merdeka 118 diceroboh sekali lagi?

Youtuber ‘up’ video rai kejayaan atas puncak, Merdeka 118 diceroboh sekali lagi?

 

CYBERJAYA: Puncak menara tertinggi di Malaysia, Merdeka 118, sekali lagi diceroboh oleh warga asing hanya semata-mata untuk menghasilkan kandungan di sosial media.

Tindakan itu dilakukan oleh sekumpulan pencipta kandungan YouTube, Driftershoots, yang berkongsi video ‘pencerobohan’ mereka yang didakwa dilakukan pada 30 Disember lalu.

Berdasarkan video yang dikongsi, dipercayai empat orang individu terbabit dalam pencerobohan berkenaan termasuk dua daripada mereka dikaburkan muka, menyelinap ke tapak bangunan itu dengan memakai jaket seperti pekerja binaan.

Video berdurasi 7 minit 18 saat itu turut memperlihatkan tindakan mereka memotong jaring keselamatan yang digunakan untuk menutup laluan masuk ke puncak menara, sebelum memanjat bangunan menuju ke puncak.

Malah, kumpulan terbabit turut memuat naik adegan ‘meraikan’ kejayaan selepas menawan Menara 118 di bilik hotel mereka, lapor Berita Harian pada Selasa.


Dalam penerangan video itu, kumpulan tersebut mengakui bahawa pendakian berkenaan amat sukar dan mencabar.

“Beberapa percubaan telah berakhir dengan ada individu dipenjarakan, jadi kami sedar yang kami berdepan risiko besar.

“Ini berakhir dengan jayanya. Ia adalah satu hadiah untuk mengakhiri tahun 2022 dengan menunjukkan rakaman tersebut,” dakwa kumpulan itu.

Untuk rekod, Merdeka 118 sebelum ini diceroboh oleh pasangan Rusia, Angela Nikolau dan Ivan Beerkus, Disember lalu.

Bagaimanapun, pasangan berkenaan baru-baru ini, tampil memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan menyatakan tindakan mereka memanjat bangunan pencakar langit itu hanya sekadar memenuhi kehendak seni dan karya semata-mata.

Author

Pilihan Editor