HomeBeritaPolitikAnak Najib umum bertanding Ketua UMNO Bahagian Langkawi

Anak Najib umum bertanding Ketua UMNO Bahagian Langkawi

CYBERJAYA: Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Datuk Mohd Nazifuddin Najib mengesahkan akan bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Langkawi pada pemilihan parti itu Mac depan.

Mohd Nazifuddin yang merupakan ahli UMNO Langkawi itu yakin bahawa peringkat akar umbi bahagian berkenaan menerima baik penyertaannya itu.

Perkara itu diyakini susulan pertemuannya dengan lebih 70 peratus daripada 103 cawangan di Langkawi.

“Kalau tak dapat sokongan akar umbi, saya takkan bertanding ketua bahagian di Langkawi. Saya bertanding sebab rasa kebanyakan daripada 103 cawangan yang ditemui memberi sokongan penuh. Itulah sebab saya menawarkan diri.

“Dan itu juga mesej kepada seluruh bahagian-bahagian bahawa anak muda boleh bersama UMNO, tak ada masalah. Kalau orang berkaliber yang boleh menjadi aset kepada UMNO, UMNO bersedia untuk memberi perubahan,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengenalan Calon-Calon Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Peringkat Negeri Kedah di Pejabat UMNO Negeri, Alor Setar, pada Jumaat.

Pada masa sama, Mohd Nazifuddin berpandangan bahawa UMNO Langkawi memerlukan pimpinan orang muda bagi membawa perubahan kepada pulau itu termasuk menyelesaikan isu-isu yang belum diselesaikan oleh pimpinan terdahulu terutama berkaitan pelancongan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Justeru, beliau percaya bahawa kehadirannya di bumi ‘Mahsuri’ itu dapat membantu bahagian berkenaan kembali teguh semula seperti sebelum ini yang pernah menjadi kubu kuat UMNO.

“Selepas Ketua UMNO Bahagian Langkawi, (Datuk Nawawi Ahmad, 61,) meninggal dunia (tahun lalu) dan apabila berlaku kekosongan, ramai yang mencari saya kerana mereka faham Langkawi memerlukan anak muda yang biasa dengan platform antarabangsa untuk bawa Langkawi ke arah yang lebih maju sebagai satu pulau pelancongan,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor