WASHINGTON: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) platform dagangan mata wang kripto dan pertukaran asing EminiFX, Eddy Alexandre, membuat pengakuan bersalah terhadap kes penipuan pelabur sebanyak AS$248 juta, lapor Sputnik memetik kenyataan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS).
Alexandre meminta lebih daripada AS$248 juta pelaburan daripada berpuluh-puluh ribu pelabur selepas membuat representasi palsu berhubung EminiFX, menurut Jabatan Kehakiman pada Jumaat.
“Hari ini Eddy Alexandre mengaku memikat pelabur untuk penipuan pelaburan mata wang kripto dengan mereka-reka pulangan mingguan sekurang-kurangnya lima peratus. Realitinya, Alexandre gagal melabur sebahagian besar wang pelabur itu malah menggunakan beberapa dana untuk pembelian peribadi.
“Penipuan Alexandre menyebabkan pelabur kerugian berjuta-juta dolar,” kata Peguam AS Damian Willams dalam kenyataan itu.
Kes itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada eksekutif mata wang kripto bahawa daerah selatan New York memantau teliti dan bersedia untuk mendakwa sebarang salah laku dalam pasaran mata wang kripto, tambah Williams.
Alexandre mengaku bersalah atas satu pertuduhan penipuan komoditi dan bersetuju membayar AS$248,829,276.73 serta memulangkan semula pelaburan dan jumlah itu akan ditentukan oleh mahkamah.
Kesalahan penipuan komoditi itu membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan mahkamah akan menetapkan hukuman pada Julai. – BERNAMA