HomeGlobalGuru mati ditikam pelajar kena 'rasuk'

Guru mati ditikam pelajar kena ‘rasuk’

PARIS: Gara-gara terdengar bisikan ‘suara halus’, seorang pelajar menikam seorang guru wanita di Sekolah Menengah Saint-Thomas d’Aquin di bandar Saint-Jean-de-Luz, Perancis.

Dalam kejadian yang berlaku pada Rabu itu, pelajar terbabit dilapor memasuki bilik darjah ketika guru wanita berusia 50-an itu sedang mengajar kelas bahasa Sepanyol lalu menyerangnya, lapor NYPost.

Laporan sama turut menyatakan bahawa suspek berusia 16 tahun itu kemungkinan mengalami masalah kesihatan mental.

Malah, suspek mendakwa dirinya ‘dirasuk’ untuk menikam dada guru tersebut.

Selepas menikam mangsa, suspek dilapor melarikan diri ke bilik bersebelahan di mana dia memberitahu seorang guru di situ bahawa satu suara halus telah mengarahnya melakukan serangan itu.

Guru berkenaan kemudian mengambil senjata daripada pelajar itu dan berada bersamanya sehingga polis tiba.

Kejadian tragis itu turut mendapat perhatian Presiden Perancis, Emanuel Macron yang meninggalkan ucapan takziah kepada keluarga guru berkenaan menerusi ciapan di Twitter.

“Pembunuhan seorang guru di Saint-Jean-de-Luz amat menyedihkan.

“Saya berkongsi kepedihan yang ditanggung keluarga mangsa, rakan sekerja, pelajar, para guru yang mendedikasikan hidup mereka untuk menyampaikan ilmu kepada generasi akan datang.

“Seluruh negara bersamamu,” tulisnya.

Author

Pilihan Editor