KUALA LUMPUR: Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) berpendirian menyebelahi nasib bekas isteri ahli perniagaan, Emilia Hanafi berhubung jumlah nafkah bagi tiga anak lelakinya yang ditanggung bapa mereka.
Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM), Datuk Normaziah Sheikh Mohamed menegaskan, jumlah RM6,000 bagi tiga anak lelaki kepada ibu tunggal itu tidak wajar dipersoal kerana bapa mereka jutawan.
“Gaya hidup anak-anak selepas perceraian tidak wajar terjejas atau berubah hanya kerana ibu bapa sudah berpisah.
“Ramai orang tak faham, bila berlaku perceraian ibu bapa, persoalan yang timbul adalah berapakah keperluan anak-anak yang sebenar?
“Dia (keluarga Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin) adalah kelompok VVIP (kenamaan) yang berkemampuan untuk memastikan keperluan anak-anak yang diterima selepas perceraian sama seperti sebelumnya.
“Masalah ini pernah berlaku pada diri saya juga. Jadi, saya pastikan anak-anak tidak menjadi mangsa, mereka dapat hak yang sama, contoh kalau keperluan mereka RM8, 000 sebulan maka itulah yang mereka wajar dapat.
“Agar mereka tidak rasa kekurangan dalam aspek makan minum, tempat tinggal dan pelajaran perlu sama seperti sebelum ibu bapa bercerai.
“Sebab banyak statistik kes cerai di Malaysia, anak daripada cerai ini bermasalah kerana mereka terasa hidup lebih teruk dan ini tidak adil untuk anak-anak lalui kerana masalah cerai bukan pilihan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui MEDIA VARIASI pada Majlis Pembukaan Pejabat Urusan KamiSempoi cawangan kedua di pusat beli belah Quill City, di sini.
Normaziah mengambil contoh jika sebelum bercerai, anak-anak Emilia pernah mempunyai empat pembantu, pemandu peribadi, dan pengawal peribadi, keperluan itu perlu kekal walaupun selepas perceraian ibu bapa.
“Sebab dia (bapa) bukan bercerai dengan anak-anak, tetapi dengan maknya, tiada istilah bekas anak-anak.
“Jadi, dalam kes Emilia, saya sokong Emilia, memang dia patut mendapat nafkah sebanyak itu untuk kekalkan apa pun untuk anak-anak dia. Maksudnya, anak takkan terjejas, tak ada tak pakai pemandu peribadi atau pengawal peribadi, mesti ada.
“Saya sokong Emilia, pastikan dia dapat pengadilan yang sewajarnya,” katanya.
Normaziah berkata demikian ketika diminta mengulas nasib ibu tunggal itu yang turut diselar netizen selepas media arus perdana melaporkan jumlah RM6,000 bagi setiap anak tidak mencukupi walaupun terpaksa berniaga kecil-kecilan untuk kelangsungan hidup.
Emilia dilaporkan, memberi keterangan kepada Majistret Nadia Othman di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Jumaat lalu, antaranya menjual makanan dari rumah seperti roti jala kuah kari, pulut kuning, rendang daging dan kerepek bayam.
Dia menanggung anak-anak daripada segi sara hidup memandangkan nafkah diberi tidak cukup berikutan anak-anak belajar di sekolah antarabangsa sejak sebelum berpisah.
Selain terpaksa menumpang di rumah ibu bapanya, menguruskan hantar dan ambil mereka dari sekolah, Emilia juga menanggung kos pengangkutan, dan keperluan tambahan lain seperti menghadiri prosiding mahkamah sivil, jenayah dan syariah pada hampir setiap minggu.
Emilia juga telah mendahulukan RM102,704 untuk bayaran yuran persekolahan dan wang berkenaan belum dilangsaikan bekas suaminya itu sejak 2020 walaupun surat peringatan telah dihantar melalui peguamnya.