HomeHiburanTiada akaun TikTok dikira ketinggalan zaman - Zed Zaidi

Tiada akaun TikTok dikira ketinggalan zaman – Zed Zaidi

KUALA LUMPUR: Selebriti Malaysia, Zed Zaidi menyifatkan individu yang tidak mempunyai aplikasi akaun TikTok adalah golongan yang ketinggalan zaman.

Zed Zaidi yang lantang memberi kritikan turut menyenaraikan warga emas yang tidak mempunyai aplikasi berkenaan juga merangkumi golongan sama.

Zed Zaidi atau nama sebenarnya, Rozaidi Abdul Jamil, 43, berkata, sebagai pengguna telefon pintar, seharusnya cekap berdepan dengan perubahan teknologi dan situasi semasa yang semakin hari semakin canggih dan maju.

Jelas pelakon yang popular dengan drama Sembilu itu, TikTok adalah platform media sosial yang cukup berbeza berbanding media sosial lain.

“Siapa yang tidak ada TikTok, dia orang-orang yang ketinggalan zaman.

“Warga emas sekalipun, dia kena belajar lah. Kita ambil contoh perkhidmatan teksi, sekarang dah pakai (aplikasi) Grab.

“Kalau tak guna komunikasi seperti itu, dia akan tenggelam, jadi kena hadap perubahan itu,” katanya dari sudut kaca mata selebriti kepada MEDIA VARIASI.

Zed Zaidi yang juga Pengerusi Persatuan Seniman Malaysia ditemui baru-baru ini pada Majlis Pembukaan Pejabat Urusan KamiSempoi International Agency (KSIA), di pusat beli belah Quill City, di sini.

Turut hadir, Pengasas KSIA, To Chin Swee; Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM), Datuk Normaziah Sheikh Mohamed serta barisan pelakon seperti Riezman Khuzaimi dan Johan Ariff As’ari selain pempengaruh terkenal di bawah naungan KSIA termasuk Adelyn Heng Hui Rou.

Pelakon Filem Niyang Rapik itu bagaimanapun melihat kelebihan TikTok membawa banyak manfaat kepada pengguna, bukan sahaja hiburan bermanfaat malah menjana pendapatan lumayan jika melakukannya dengan cara yang betul.

Berkongsi perkembangan dunia seni, Zed berkata, dia baru sahaja selesai penggambaran filem Misteri Hutan Tok Kepak, drama 20 episod, dan telemovie untuk siaran di Astro.

Zed turut memberi bayangan kemunculan diri sebagai watak utama dalam drama raya Aidilfitri mirip Diari Ramadan Rafique.

“Untuk program Ramadan akan datang, kalau ada rezeki mungkin sebelum ini kita ada Diari Ramadan Rafique, mungkin selepas ini Diari Ramadan Zed Zaidi,” selorohnya.

Author

Pilihan Editor