KUALA LUMPUR: Pendedahan isu kegagalan pendakwah terkenal yang juga bapa rapper, Altimet dalam membayar mutaah bekas isteri sejak tujuh tahun lalu, membongkar status sijil pentauliahannya yang dipercayai meragukan.
Norlina A memberitahu, sijil tauliah diperoleh bekas suaminya, Syed Abdul Rahman Syed Ali Alhadad, meragukan kerana tidak pernah melihat pendakwah itu mengikuti program pengajian bidang agama secara formal sebelum dia diberi tauliah.
Dalam profil LinkedIn Syed Abdul Rahman, kemahiran beliau disenaraikan dalam bidang pesawat dan kejuruteraan, bukan mengikuti mana-mana pengajian agama.
Syed Abdul Rahman bekerja sebagai seorang jurutera syarikat penerbangan sepanjang tempoh perkahwinan sejak 1988.
Jelas Noralina A, pada 1997, bekas suami berubah penampilan dan perwatakan sejak pulang dari Yaman setelah sebulan lebih berada di sana.
“Dia ke Yaman, katanya ada guru atau murabbi dari keturunan nasab yang mewariskan ilmu kepada pewaris yang mempunyai keturunan sama.
“Pada 2017 dia mohon tauliah daripada JAIS baru saja ‘renew’ sampai 2025, tetapi setahu saya yang berkahwin dengannya sejak 35 tahun, dia tidak pernah ikuti pengajian agama secara formal tiba-tiba dapat tauliah jadi pendakwah dan digelar ustaz.
“Isu nasional di sini, adalah sangat mudah JAIS beri tauliah tanpa siasat latar belakang kelayakan seseorang,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Berdasarkan siasatan MEDIA VARIASI ke laman sesawang JAIS, jelas menyatakan kriteria untuk mendapatkan tauliah mesti ada kelayakan bidang pengajian agama yang diiktiraf dan terdapat empat kategori.
“Antara kategorinya adalah D1 : Tauliah Ceramah, D2: Tauliah Mengajar Fardhu Ain, D3: Tauliah Mengajar Al Quran dan D4: Tauliah Khas.
“Kategori tauliah Syed Abdul Rahman adalah kategori lain-lain yang tiada dalam mana-mana kategori tertera di laman web.
“Kategori ini tidak memiliki huraian yang jelas menyebabkan ramai ‘ustaz jadian’ dan pendakwah tauliah tanpa kelayakan wujud,” katanya.
Seorang pendakwah yang memiliki tauliah dan kelulusan agama namun enggan mendedahkan namanya berkata, Malaysia paling ramai melahirkan pendakwah dan ‘ustaz cap ayam’ yang tidak berkualiti.
“Inilah kepincangan sistem tauliah yang ada sekarang. Ia jadi masalah sebab di bawah bidang kuasa negeri.
“Mesti ada satu akta khas di peringkat pusat untuk mengambil tindakan terhadap golongan ada tauliah tanpa kelayakan agama atau kelulusan pengajian yang diiktiraf kerajaan,” katanya.
Beliau juga mendedahkan, lambakan ustaz palsu ini bukan baharu, tetapi malapetaka yang sudah lama membarah dalam masyarakat.
Tambahnya, sekadar mengikuti dan menganjurkan majlis ilmu tidak melayakkan seseorang menjadi guru agama atau pendakwah.
“Sekadar membaca dan guna pakai kitab-kitab karangan warisan agak membahayakan sebab tafsiran yang berlandaskan ilmu setengah masak ini adalah bahaya dan kemungkinan besar adalah salah,” katanya.
MEDIA VARIASI sebelum ini melaporkan pendakwah terkenal yang juga bapa kepada rapper tersohor negara, Altimet, dipercayai masih gagal membayar mutaah kepada bekas isterinya selepas perintah Mahkamah Syariah Shah Alam dikeluarkan tahun lalu.
Tuntutan mutaah berjumlah RM28,900 itu telah dibuat oleh bekas isterinya, Norlina A.
Difahamkan, pendakwah itu memiliki tauliah dan banyak berceramah mengenai aspek kekeluargaan dalam Islam.