SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) membuat laporan polis berhubung isu penggunaan kepala surat rasmi berlogo MAIS bagi tujuan mendapatkan dana projek pembekalan bantuan bakul makanan.
Perkara itu susulan pendedahan MEDIA VARIASI berhubung kegiatan seorang wanita yang menipu dengan memalsukan dokumen ‘purchase order’ (PO) dan mengutip dana RM660,000 menggunakan kepala surat dengan logo MAIS bagi projek Food Bank yang tidak wujud.
Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, laporan polis yang dibuat Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam itu bagi memastikan siasatan dapat dibuat dan tindakan undang-undang yang tegas dapat diambil terhadap pihak yang melakukan jenayah pemalsuan dokumen di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun dan dikenakan denda.
Beliau turut menafikan bahawa MAIS terlibat dalam projek pembekalan bantuan bakul makanan yang dilaksanakan oleh syarikat terbabit.
“MAIS menerima aduan daripada sebuah syarikat swasta yang melaporkan menerima pesanan pembelian dan invois yang menggunakan kepala surat rasmi berlogo MAIS bagi tujuan mendapatkan dana projek pembekalan bantuan bakul makanan.
“Hasil semakan MAIS mendapati kedua-dua dokumen berkenaan adalah palsu dan MAIS tidak terlibat dengan projek pembekalan bakul makanan serta tidak pernah melantik mana-mana pihak menjadi ejen untuk projek bantuan yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.
MEDIA VARIASI terdahulu melaporkan, modus operandi wanita berkenaan adalah menyasarkan pihak berkepentingan yang juga mempunyai hubungan baik dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Penasihat PPIM, Datin Che Roslina Othman mendedahkan, individu terbabit sengaja menggunakan kepala surat rasmi MAIS agar dokumen urusan kelihatan lebih meyakinkan selain menggunakan alamat pejabat PPIM Distributor sebagai urusan rasminya.
Dalam pada itu, Ahmad Shahir berkata, MAIS melihat perbuatan pemalsuan dokumen melibatkan MAIS ini adalah suatu jenayah yang serius kerana ia menjejaskan imej institusi tersebut dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada umat Islam khususnya di Selangor.
Justeru itu, pihaknya menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan berwaspada dengan penipuan oleh mana-mana pihak yang menggunakan nama MAIS untuk tujuan mendapatkan sumbangan serta apa-apa kepentingan lain.
“Jika terdapat perkara yang meragukan, orang awam boleh mendapatkan pengesahan daripada MAIS dan merujuk kepada MAIS melalui talian 03-5515 3400 atau e-melkan terus ke pro@mais.gov.my.,” katanya.