CYBERJAYA: Jumlah pengguna yang mengambil rokok elektronik seperti pod kini semakin meningkat termasuklah dalam kalangan wanita.
Perkara itu dikongsi oleh Public Health Malaysia (PHM) menerusi hantaran di Facebook rasminya yang turut menyatakan bahawa rata-rata golongan terbabit merupakan pengguna baru (new user).
“Sayang… muka dah cantik, berhijab pulak tu. Tapi kaki vape.
“Terdapat peningkatan dalam new user (pengguna baru) rokok elektronik dalam kalangan wanita yang tidak pernah menggunakan produk tembakau sebelum ini.
“Tudung bawal + gantung pod di leher adalah pemandangan biasa yang boleh dilihat hari ini,” tulis PHM sebagai tanda peringatan buat masyarakat.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warga maya tampil memberi pandangan tersendiri berhubung isu penggunaan vape dalam kalangan wanita.
Ada yang menyifatkan senario penggunaan vape dalam kalangan anak muda khususnya kaum hawa ini semakin ramai sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuklah golongan yang masih di bangku sekolah.
Dalam pada itu, ada juga yang berpandangan bahawa penggunaan vape dalam kalangan wanita bukanlah suatu hal yang ‘luar biasa’ kerana setiap individu itu mempunyai pilihan tersendiri.