HomeBeritaBayi lahir di Pahang bakal diberi RM300 termasuk 'Gold Bar'

Bayi lahir di Pahang bakal diberi RM300 termasuk ‘Gold Bar’

 

CYBERJAYA: Setiap kelahiran bayi di Pahang akan menerima pemberian bernilai RM300 menerusi program Anak Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kid 2023).

Inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Pahang dengan peruntukan RM7.5 juta itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 25,000 bayi yang dilahirkan di negeri berkenaan.

“Setiap kelahiran (bayi) hidup akan menerima pemberian bernilai RM300 yang merangkumi RM50 dalam bentuk barangan bayi, RM100 dalam bentuk simpanan bank rakyat dan RM150 gold bar,” maklum Kerajaan Negeri Pahang menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Bagaimanapun, Pahang Pride Kid 2023 hanya terbuka kepada warganegara Malaysia yang bayinya dilahirkan Pahang pada tahun ini sahaja.

Ibu bapa atau penjaga yang sah boleh membuat pendaftaran secara dalam talian dengan melayari laman erakyat.pahang.gov.my

“Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 09-5124043/09-5124039 (Unit Pembangunan Wanita & Sosial Negeri Pahang),” tulisnya.

Author

Pilihan Editor