ALOR SETAR: Seorang pelajar Kejuruteraan Penerbangan Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) dikhuatiri lemas di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi ketika sedang mandi-manda di pantai itu bersama rakannya, lewat petang semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari berkata, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi menerima panggilan mengenai kejadian menimpa Muhammad Fahmi Hafizi Zulkifli, 20, pada pukul 7.20 malam tadi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa serta beberapa rakannya sedang berenang di pantai itu sebelum dipercayai lemas dan mangsa cuba diselamatkan rakan-rakan serta pelancong, namun gagal kerana alun air kuat.
“Operasi mencari dan menyelamat dijalankan sepasukan 57 pegawai dan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Rela. Operasi ditangguhkan pada pukul 12 tengah malam (tadi) dan disambung semula pada pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shariman berkata, mangsa yang beralamat di Langgar, Alor Setar itu, bersama rakan-rakannya dikatakan baru dua minggu berada di pulau pelancongan berkenaan bagi menjalani latihan industri.- BERNAMA