HomeNiagaDocto Aircond mahu pecah monopoli bukan Melayu dalam IPO

Docto Aircond mahu pecah monopoli bukan Melayu dalam IPO

CYBERJAYA : Usahawan Bumiputera daripada perusahaan kecil dan sederhana berpeluang menerokai dan menguasai pasaran tawaran awam permulaan (IPO) Bursa Malaysia jika bijak mengambil kesempatan.

Bidang kejuruteraan keusahawanan lebih besar peluangnya untuk memasuki pasaran IPO yang selama ini dimonopoli bukan Bumiputera.

Untuk rekod, 80 peratus perniagaan dalam IPO terdiri daripada bukan Melayu.

Penasihat Korporat dan Strategi Meta Docto Holding Berhad, Dato Seri Ahmad Khusairi Bani Hashim Al Haj berkata, syarikat selenggara pendingin hawa, Docto Aircond Sdn Bhd dengan kerjasama S&A Bintang Sdn Bhd sedang berusaha memacu industri kejuruteraan pendingin hawa ke pasaran lebih meluas dan terancang.

“Kami bersama untuk memacu perniagaan supaya ke peringkat lebih tinggi.

“Jika pengasas bercerita tentang bagaimana untuk melahirkan lebih ramai usahawan dan cawangan, tapi dalam masa yang sama, kedudukan syarikat perlu naik lebih baik di pasaran.

“Jadi, kita nampak peluang besar iaitu IPO, bursa saham, kita kena bawa syarikat ke sana.

“Program antara Meta Docto dan S&A Bintang, nak lahir pemain industri profesional dalam dunia pendingin hawa, lebih-lebih lagi yang bumiputera supaya mereka boleh masuk ke ‘level’ berbeza yang dipanggil IPO tadi,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian cawangan pertama di bawah Meta Docto Holding Berhad oleh Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Selangor, Dr Ahmad Sabri Kassim di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Pengasas Meta Docto Holding Berhad, Amirudin Abdullah dan Pengurus Pemasaran & Jualan Docto Aircond Sdn Bhd, Ahmad Hamzah Mohd Salleh selaku pemilik cawangan pertama Docto Aircond.

Ahmad Khusairi menjelaskan, usahawan Bumiputera perlu diberi kesedaran tentang kepentingan memasuki pasaran IPO untuk masa depan.

“Kita sasarkan sekurang-kurangnya tiga tahun dalam proses masuk ke senaraian, dan dalam proses itu kita perkenal konsep ‘raising fund’ kita guna formula ‘capital market’ yang beri galakan kepada usahawan Melayu bawa syarikat,” katanya.

Author

Pilihan Editor