HomeBeritaPeruntukan Ahli Parlimen dipotong, GLC dan syarikat korporat boleh bantu - Fahmi...

Peruntukan Ahli Parlimen dipotong, GLC dan syarikat korporat boleh bantu – Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR: Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat korporat diharap dapat memainkan peranan dalam membantu pembangunan di kawasan-kawasan Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata demikian bagi mengulas isu ketidakpuasan hati beberapa pihak terhadap pemotongan peruntukan pembangunan terhadap Ahli Parlimen pada tahun ini.

Menurutnya, syarikat-syarikat tersebut boleh memainkan peranan membantu pembangunan melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dijalankan mereka.

“Pada waktu ini, mungkin ramai di kalangan Ahli Parlimen, kita perlu memaksimakan sumber yang kita ada termasuklah peruntukan bagi Ahli-ahli Parlimen.

“Pada masa yang sama, saya lihat banyak sama ada GLC atau pun syarikat-syarikat korporat juga boleh memainkan peranan untuk membantu dari segi CSR, untuk menyediakan apa-apa keperluan penduduk yang boleh mereka santuni.

“Saya mengambil sikap sekiranya boleh syarikat-syarikat mengambil ikhtiar untuk memahami kawasan sekitar ibu pejabat mereka dan apa yang boleh mereka bantu di kawasan lokaliti itu,” katanya.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital itu berkata demikian pada sidang media yang berlangsung dalam Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parlimen Lembah Pantai di Bangsar pada Isnin.

Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu, mengumumkan bahawa peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen akan dikurangkan tahun ini sebagai langkah mengawal kewangan negara.

Keputusan itu sekaligus menimbulkan kegusaran beberapa Ahli Parlimen antaranya ialah Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang berkata peruntukan itu tidak mencukupi dan akan memberi cabaran yang lebih besar kepadanya dalam mengurus tadbir kepelbagaian keperluan penduduk dan penambahbaikan infrastruktur di kawasan yang amat diperlukan oleh rakyat.

Mengulas lanjut, Fahmi turut memberi contoh seperti institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diambil sebagai institusi angkat oleh beberapa syarikat.

Namun, katanya, syarikat-syarikat yang membantu tersebut juga akan diteliti supaya tidak timbul isu timbal balas.

“Tetapi mungkin, satu cara yang boleh diikhtiarkan juga, apabila Perdana Menteri mengumumkan bahawa institusi TVET akan diambil sebagai institusi angkat oleh sejumlah syarikat atau pun konglomerat.

“Mungkin dari segi itu, di sesetengah kawasan Parlimen atau kawasan yang lebih khusus yang menghadapi sesetengah masalah itu, maka mungkin ada syarikat-syarikat yang boleh membantu.

“Cuma kita kena teliti supaya ia tidak dianggap sebagai ada timbal balas Contohnya syarikat yang mengusahakan pembalakan, sekiranya dia mengambil satu kawasan itu sebagai kawasan angkat tak bermaksud dia patut diberikan sepenuhnya kawasan itu untuk diterokai sesuka hati, jadi undang-undang masih ada.

“Saya difahamkan, sekiranya ekonomi bertambah baik, maka pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, mempunyai hasrat untuk meneliti beberapa perkara semula,” jelasnya.

Tambahnya, fokus mereka sebagai menteri sebagai menteri, termasuklah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), ialah untuk merancakkan ekonomi dengan membawa masuk pelaburan yang akan memberi satu kesan positif kepada ekonomi dan rakyat

“Kemudian beberapa perkara yang sedang dirancang ini boleh diteliti semula, jadi dia ada beberapa ikhtiar, bagi saya, untuk jangka masa pendek, jangka masa pertengahan dan jangka masa panjang,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor