PETALING JAYA: Syarikat penyedia platform pendidikan digital, Planetmahir Sdn Bhd kini menawarkan program pendidikan maya, MAHIR Tutor A Level dan Sijil Am Antarabangsa untuk Pendidikan Menengah (IGCSE).
Kurikulum persekolahan itu akan dilaksanakan ke pasaran pendidikan global termasuk di Indonesia, Singapura dan Brunei.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir berkata, mendokong perkembangan Revolusi Industri 4.0, Planetmahir kini beralih kepada Aplikasi Teknologi Kecerdasan Buatan (AI), ke Fasa Dua (Planetmahir 2.0).
Katanya, pengenalan Aplikasi AI dan penerokaan ke pasaran pendidikan global itu menandakan bermulanya fasa dua syarikat itu.
“Planetmahir ketika ini peneraju pasaran dalam industri pendidikan dan latihan di mana kami kini telah bersedia untuk memasuki pasaran global menerusi pengenalan aplikasi AI yang dilancarkan serentak dengan fasa peralihan ‘Planetmahir 2.0’.
“Kami berbesar hati untuk menawarkan satu platform digital yang lebih bermakna kepada semua pelanggan kami dengan pengalaman pembelajaran dan latihan yang terkini dan bersifat global,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran ‘Planetmahir 2.0’ di sini.
Yang turut hadir, Pengerusi Planet Mahir Sdn Bhd, Datuk Mohd Husni Salleh; Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa), Datuk Dr Abdul Fattah Abdullah; Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
Ahmad Ramzi menjelaskan, aplikasi AI akan membolehkan pelajar mendapatkan pembelajaran secara peribadi (personalised learning) daripada MAHIR AI.
Katanya, MAHIR AI adalah aplikasi berasaskan sistem tutor ‘AI-powered Intelligent Tutoring System’ yang dibangunkan dengan kerjasama Organisasi Perdagangan Luar Jepun (JETRO) dan dijangka siap akhir tahun ini.
“Antara ciri istimewa MAHIR AI adalah memberi nasihat kepada pelajar tentang kursus yang boleh diambil berdasarkan kebolehan dan pencapaian mereka.
“Ia juga membantu mencerap prestasi pembelajaran, menjangka kebarangkalian lulus atau gagal dalam peperiksaan, automasi pemeriksaan kertas jawapan peperiksaan serta pengesahan pengenalan diri apabila menduduki ujian dalam talian,” katanya.
Untuk rekod, Planetmahir ditubuhkan pada 2019, kini mempunyai lebih 100,000 pelajar dan telah memberikan perkhidmatan digitalisasi di dalam bidang pendidikan dan latihan kepada lebih 30 buah agensi kerajaan dan swasta.
Plenetmahir tersenarai antara 50 syarikat teknologi digital utama di Malaysia, dan kekal sebagai Peneraju Pendidikan Digital di negara ini dengan slogan ‘Gedung Ilmu Online”.