CYBERJAYA: Bermacam ragam yang dipamerkan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk lolos namun gagal sewaktu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur sebuah kawasan perkampungan yang dibina secara haram di Cyberjaya, awal pagi tadi.
Malah, dalam operasi penguatkuasaan bersepadu JIM itu, ada antara PATI yang menggunakan taktik menyorok dalam reban ayam, bawah rumah, dalam belukar dan ada juga pura-pura pengsan untuk meraih simpati pihak berkuasa.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, penempatan haram yang terdiri daripada empat perkampungan kecil membabitkan kira-kira 100 buah rumah itu berjaya dikesan hasil aduan awam yang diterima dan risikan dilakukan anggota selama tiga minggu.
Menurutnya, operasi yang bermula pukul 12 tengah malam itu membabitkan seramai 321 anggota dan pegawai JIM serta dibantu 55 anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Menjadi tumpuan apabila perkampungan yang dibina secara haram dalam sebuah hutan yang terletak kira-kira empat hingga kilometer dari jalan utama itu turut dilengkapi kemudahan seperti sebuah surau yang boleh memuatkan sehingga 30 orang, kedai runcit dan kedai kopi.
“Dalam serbuan dijalankan, seramai 56 warganegara Indonesia berjaya ditahan terdiri daripada 26 lelaki dan 29 wanita yang berusia lingkungan 16 hingga 70 tahun,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia hari ini.
Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, dianggarkan 30 hingga 40 warga asing meloloskan diri ke dalam hutan ketika serbuan dijalankan, namun tidak dikejar oleh pasukan operasi kerana keadaan belukar yang gelap selain terdapat dahan kayu serta kaca di kawasan berkenaan.
Ujar beliau, siasatan awal mendapati, warga asing yang ditahan itu telah masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial sejak tahun 2016 dan tidak pernah kembali ke negara asal.
“Mereka ini bekerja secara tidak sah di kawasan pembinaan selain bekerja sebagai tukang cuci dalam sektor perkhidmatan di beberapa buah bangunan di kawasan sekitar.
“Lebih mengejutkan, wanita warga asing yang ditahan didapati menjalankan perniagaan kecil-kecilan iaitu menjual kuih-muih, nasi lemak dan pisang goreng di kawasan sekitar Putrajaya dan Cyberjaya.
“Kita dapat lihat sendiri keadaan di penempatan ini yang kotor, jika mengikut peraturan Kementerian Kesihatan, mereka yang menjalankan perniagaan mestilah menerima suntikan tifiod terlebih dahulu dan mereka ini ternyata tidak mendapat sebarang suntikan dan kita juga tidak tahu bagaimana tahap kebersihan makanan-makanan yang dijual.
“Kemudahan tandas dan perparitan yang dibina juga berada dalam keadaan teruk, mereka guna set generator untuk dapatkan bekalan elektrik, manakala bekalan air diperoleh daripada perigi yang dibina sedalam tiga hingga lima meter sebelum disambung dengan paip ke setiap rumah,” ujarnya.