HomeBeritaMenjelang Ramadan, kerajaan perkenalkan inisiatif 'Raya Rahmah' minggu depan

Menjelang Ramadan, kerajaan perkenalkan inisiatif ‘Raya Rahmah’ minggu depan

CYBERJAYA: Kerajaan kini dalam pertimbangan meluaskan konsep Payung Rahmah menjelang bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kerajaan dijangka memperkenalkan inisiatif ‘Raya Rahmah’ bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

Menurutnya, inisiatif terbaru itu akan membabitkan beberapa syarikat di mana namanya akan diumumkan pada minggu hadapan.

“Buat masa sekarang, kita masih dalam peringkat rundingan kerana pihak berkenaan juga turut meminta tempoh untuk perbincangan.

“Kita jangka dalam minggu hadapan, mereka akan dipanggil semula untuk nyatakan secara spesifik bentuk tawaran bagi konsep Raya Rahmah ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian pada Selasa.

Jelasnya, Raya Rahmah merupakan sebahagian inisiatif kerajaan dalam memastikan golongan kurang berkemampuan berpeluang menikmati Aidilfitri dengan menyediakan kelengkapan perayaan seperti perhiasan rumah, baju raya dan barangan lain yang diperlukan mereka dengan harga yang sangat berkemampuan.

Mengulas berhubung perkembangan inisiatif ‘Menu Rahmah, beliau memaklumkan bahawa setakat ini kerajaan dalam perancangan membangunkan sebuah aplikasi bagi memudahkan pengguna mendapat akses maklumat berhubung lokasi restoran atau kedai makan yang menawarkan perkhidmatan berkenaan.

“Dalam masa yang sama juga, sebanyak sembilan pengusaha kedai makan dan restoran di Perlis sudah menyahut saranan kita dalam melaksanakan inisiatif itu secara sukarela.

“Malah, terdapat juga beberapa francais restoran makanan segera yang berminat untuk bersama dalam inisiatif ini dan buat masa ini mereka sedang dalam perbincangan lanjut bagi pelaksanaan itu,” maklumnya.

Author

Pilihan Editor