SHAH ALAM : Pendakwah terkenal yang juga bapa kepada rapper tersohor negara, Altimet, dipercayai masih gagal membayar mutaah kepada bekas isterinya selepas perintah Mahkamah Syariah Shah Alam dikeluarkan tujuh tahun lalu.
Tuntutan mutaah tersebut telah dituntut sejak tujuh tahun lalu oleh bekas isteri beliau, Norlina A.
Syed Abdul Rahman Syed Ali Alhadad, 71 tahun, sebelum ini banyak berceramah mengenai aspek kekeluargaan dalam Islam.
Norlina A, ibu angkat kepada penyanyi Altimet, masih belum menerima mutaah sebanyak RM28,900 tertunggak sehingga hari ini.
Di Mahkamah Syariah Shah Alam baru-baru ini, alasan yang diberikan Syed Abdul Rahman ialah perintah mahkamah tidak menetapkan tarikh yang perlu dilunaskan bayaran.
Pertanyaan kepada peguam sivil Nik Elin Nik Rashid menyatakan bahawa tempoh tersebut adalah tidak munasabah tanpa alasan yang kukuh “hanya untuk menjelaskan mutaah sebanyak RM28,900.”
MEDIA VARIASI menemui Norlina A selepas pendengaran kes di Mahkamah Syariah untuk mendapatkan penjelasan, wanita itu menceritakan Syed Abdul Rahman bercerai dengan isteri pertamanya pada tahun 1986 dan bertemu jodoh dengannya pada tahun 1988.
Tiga orang anaknya dari isteri pertama, termasuk Altimet, telah dipelihara dan dibesarkan oleh Norlina A sejak mereka kecil lagi.
“Hasil perkahwinan kami selama 28 tahun, kami telah dikurniakan dengan tiga anak lagi.
“Namun, pendakwah itu telah berpoligami tanpa kebenaran mahkamah pada tahun 2013 dan bercerai dengan saya dua tahun kemudian,” ujar Norlina A.
Sebelum menceburi diri dalam bidang dakwah, Syed Abdul Rahman adalah seorang jurutera dengan sebuah syarikat penerbangan.
Menurut profil LinkedIn beliau, antara kemahiran yang disenaraikan adalah dalam bidang pesawat, aeroangkasa, penerbangan, kejuruteraan, pengurusan projek, aeronautik dan penerbangan komersial.
Pendakwah tersebut tidak menyenaraikan sebarang pendidikan formal atau kelulusan dalam bidang agama Islam.