KUALA LUMPUR: Syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing seolah-olah mewujudkan undang-undang ‘dua darjat’ dan diskriminasi terhadap pemandu kenderaan persendirian.
Pemandu kenderaan persendirian dikenakan potongan 20 peratus sebagai komisen yang diperolehi syarikat pada setiap servis yang dilakukan mereka.
Manakala pemandu teksi hanya dikenakan potongan 10 peratus kadar komisen.
Ketua Aktivis Gabungan e-hailing, Jose Rizal berkata, perbezaan kadar komisen itu mewujudkan jurang antara dua kelompok pemandu.
“Alasan syarikat e-hailing adalah kenderaan komersial untuk teksi manakala bukan komersial untuk persendirian.
“Walhal jika nak ikut kos yang ditanggung kedua-dua kelompok pemandu ini sama sahaja.
“Mereka keluarkan kos yang sama untuk pemeriksaan PUSPAKOM, kos yang sama untuk insuran, beban yang sama.
“Tetapi kenapa kadar komisen berbeza pula? Soal Jose.
Untuk rekod, pemandu memaklumkan mereka perlu bekerja 15 jam sehari bermula 7 pagi hingga 10 malam, namun pendapatan kasar hanya mencecah RM70 sehari dan jumlah berkenaan belum ditolak potongan komisen, petrol serta makanan.
Misalnya jika pemandu meraih RM100 sehari, komisen ditolak ialah RM20, petrol RM20, makan dan minum RM25, maka wang yang dibawa pulang ke rumah adalah RM35.
Keadaan lebih sukar apabila pemandu juga perlu menanggung kos bayar bulanan kereta, penyelenggaraan kenderaan, insurans tahunan kenderaan, cukai jalan dan insurans e-hailing.