HomeBeritaKertas Putih bukan cari kesalahan tapi tambah baik proses - Dr Zaliha

Kertas Putih bukan cari kesalahan tapi tambah baik proses – Dr Zaliha

 

JOHOR BAHRU: Penyediaan Kertas Putih perolehan vaksin COVID-19 bukanlah dibuat bagi mencari kesalahan pentadbiran terdahulu, sebaliknya untuk penambahbaikan proses berkenaan pada masa akan datang.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, pasukan kerja yang ditubuhkan bagi menyediakan Kertas Putih itu akan melihat kepada beberapa perkara yang boleh ditambah baik daripada apa yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini.

“…bukan untuk melihat kesilapan atau kesalahan (kerajaan terdahulu) tetapi untuk mengeluarkan satu cara terbaik, lebih berintegriti, memastikan ada juga keuntungan di pihak kerajaan dan sebagainya.

“(Sebab) kita faham dokumen (perolehan) itu dilakukan pada waktu darurat, tetapi mungkin ada perkara yang perlu dititikberatkan,” kata beliau kepada pemberita selepas perasmian Wellness Hub Hospital Sultanah Aminah, di sini hari ini.

Ketika ditanya tarikh Kertas Putih akan dibentangkan di Parlimen, Ahli Parlimen Sekijang itu berkata Kertas Putih berkenaan masih dalam proses untuk disiapkan dan akan dibentangkan terlebih dahulu kepada Kabinet sebelum dibawa ke Parlimen.

Pada 8 Februari lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipetik sebagai berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan Kertas Putih perolehan vaksin dan kos berkaitan, yang didakwa sebahagiannya tidak mengikut peraturan dan ditandatangani menteri tanpa persetujuan Peguam Negara.

Mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) berhubung pembekalan ventilator rosak ketika pandemik yang melibatkan kerugian RM13 juta, Dr Zaliha berkata, beliau telah mendapatkan penjelasan daripada pegawai yang terlibat.

“(Saya) telah dimaklumkan (mengenai perkara ini). Pegawai telah berikan penjelasan kepada saya, kita ambil maklum (mengenai ventilator) dengan perkara-perkara lain yang dilakukan pada waktu darurat dan lihat di mana kita boleh lakukan pembaikan,” katanya.

LKAN yang dikeluarkan Khamis lepas mendapati hanya 28 daripada 136 ventilator yang diperoleh KKM melalui tatacara perolehan darurat dapat digunakan, dengan baki 108 unit ventilator dibekalkan sebuah syarikat, tidak dapat digunakan kerana tidak sesuai dan tidak selamat untuk pesakit.

Laporan itu menyebut susulan itu, KKM telah memulangkan 15 daripadanya kepada pengilang, manakala tuntutan kerugian sebanyak RM13.07 juta bagi 93 unit lagi tidak dapat dilaksanakan kerana tidak terdapat sebarang dokumen perolehan antara syarikat itu dengan kementerian.- BERNAMA

Authors

Pilihan Editor