HomeHiburanBosan asyik ditawar watak rebut lelaki, Fazura buka syarikat produksi sendiri

Bosan asyik ditawar watak rebut lelaki, Fazura buka syarikat produksi sendiri

CYBERJAYA: Dek kerana seringkali ditawarkan watak yang sama, pelakon, Fazura tampil menghasilkan dua filem pendek terbitan Fazura Pictures baru-baru ini.

Menurut Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin, 40, dua karya berkenaan yang berjudul ‘Adinda’ dan ‘Kakak Kita Ke Jakarta’ mendapat sentuhan pengarah, Bahri Umararif.

Fazura turut mengakui bahawa rasa rindu untuk kembali beraksi namun disebabkan asyik ditawarkan watak yang sama membuatkan dia enggan berlakon.

“Bukan nak riak (tawaran lakonan yang diterima) tapi sedih setiap kali dapat tawaran watak yang sama iaitu berebut lelaki sahaja. Sebab itulah saya lama tak berlakon.

“Dan sebab itulah saya muncul dengan syarikat penerbitan sendiri jadi bolehlah saya buat apa yang saya nak,” katanya seperti dilapor Mstar.

Pada masa sama, aktres yang kini aktif mengembangkan perniagaan menerusi jenama ‘Tudung Fazura’ itu turut berkata, dia mahu memartabatkan kaum wanita menerusi paparan karyanya.

Jelasnya, perkara sedemikian perlu ditingkatkan memandangkan terlalu banyak drama yang berasaskan penyondol.

Malah, Fazura turut berharap lebih banyak produksi dapat menghasilkan karya yang mampu mendidik minda penonton.

“Memperkasa wanita ini memang matlamat saya. Sedih sebenarnya apabila negara kita terlalu banyak keluarkan drama-drama di televisyen yang cerita hampir sama iaitu lelaki direbut oleh dua orang perempuan.

“Saya harap pihak produksi di luar sana berani untuk keluar dari zon selesa itu untuk buat cerita yang lain agar dapat mendidik dan kembangkan minda penonton dan alihkan stigma yang lama ke baharu,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor