SEREMBAN: Jerayawara Pendidikan Madani merupakan platform terbaik Kementerian Pendidikan (KPM) mendapatkan maklum balas serta mendekatkan warga kementerian keseluruhannya.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, menerusi program tersebut KPM akan mengadakan pertemuan dengan komuniti pendidikan termasuk guru dan pelajar berkonsepkan santai.
Katanya, program tersebut dimulakan di Negeri Sembilan kemudian di Selangor dalam bulan Ramadan ini dan dijadualkan bergerak ke negeri-negeri lain.
“Menerusi program ini, komuniti KPM dapat bersama-sama berkenalan dan beramah mesra…yang penting untuk mendekatkan dengan warga KPM.
“Kami mahu mengadakan pertemuan sehingga ke peringkat akar umbi. Program ini ia bukan sesi Townhall yang serius, kami akan dapatkan maklum balas daripada guru-guru, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tentang perkara yang membimbangi mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas menghadiri Majlis Jerayawara Pendidikan Madani di sini hari ini.
Terdahulu, Fadhlina menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Didik Negara, Hardian Hadir.
Mohd Muazzam berkata, kerjasama selama dua tahun itu membolehkan Bank Islam memainkan peranan menyokong aspirasi negara untuk membentuk dan meningkatkan tahap pendidikan negara.
Selain itu Bank Islam melaksanakan Projek Rintis Komuniti Tanpa Tunai di 10 Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) terpilih di seluruh negara bermula tahun ini.
Katanya, projek Komuniti Tanpa Tunai itu merupakan usaha Bank Islam bagi mengalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai atau penggunaan kod QR dalam transaksi pembelian. – BERNAMA