HomeBeritaMahkamah & JenayahMadu Miera Leyana mahu suami adil tunai nafkah

Madu Miera Leyana mahu suami adil tunai nafkah

PUTRAJAYA: Madu kepada pelakon Miera Leyana, Adibah Abdul Mutalib, 50, tidak berhasrat memfailkan penceraian namun mahu suami lebih bertanggungjawab dan adil dalam soal pemberian nafkah.

Suaminya, Rosland Othman, 50, mengamalkan poligami apabila berkahwin pula dengan aktres, Miera Leyana pada Julai 2020.

Adibah mengaku masih sayangkan suaminya yang hidup bersama sejak 28 tahun lalu meskipun ada orang ketiga dalam perkahwinan mereka.

“Sebagai seorang isteri, sudah tentu saya ingin menyelamatkan perkahwinan kami.

“Sememangnya, saya tak pernah terfikir untuk bercerai. Saya cuma mahu suami lebih bertanggungjawab dan adil dalam soal pemberian nafkah.

“Nafkah adalah tanggungjawab suami, namun ia terhenti sejak beliau berkahwin dengan Miera Leyana.

“Tiada keperluan untuk saya tuntut cerai bukan ada lelaki lain dalam hidup saya,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Adibah mendakwa, Rosland hanya memberi nafkah sekiranya dituntut dan diberikan melalui orang tengah.

“Kami sukar berkomunikasi disebabkan Rosland tak pulang ke rumah dan nombor saya disekat sejak 21 September tahun 2021. Justeru, Rosland hanya berhubung dan memberi nafkah melalui anak.

“Saya tiada masalah untuk selesai dan berbincang secara bersemuka berhubung soal ini dengan Rosland.

“Pulanglah ke rumah dan bincang secara baik untuk capai kata sepakat antara kedua pihak,” katanya yang ditemui bersama peguamnya, Mohd Junid selepas sebutan proses sulh di Mahkamah Syariah Putrajaya, di sini, pagi tadi.

Prosiding itu disebut di hadapan Pendaftar Mahkamah Syariah Putrajaya, Tuan Sara Waheeda Tuan Dir.

Bagaimanapun, Rosland tidak hadir dan diwakili peguamnya, Datuk Seri Amli Embung.

Rosland yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Consolidated Industries Bhd milik syarikat Serba Dinamik sebelum ini gagal menghadiri prosiding kes nusyuz yang difailkan sendiri di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada 31 Januari lalu.

Rosland kemudian diperintah membayar kos RM500 kepada peguam dan isteri pertamanya.

Sementara itu, Mohd Junid berkata, peguam defendan hadir dan memohon satu tarikh untuk dimasukkan pembelaan terhadap tuntutan.

“Pendaftar mahkamah menetapkan proses sulh akan disambung pada 14 April ini bagi menyelesaikan dokumentasi bagi menjawab pembelaan,” katanya.

Author

Pilihan Editor