ROTTENBURG: Demi membawa keunikan, sebuah kedai manisan di Rottenburg, Jerman baru-baru ini memperkenalkan aiskrim berperisa cengkerik.
Malah, aiskrim tersebut turut dihiasi ‘topping’ serangga, lapor New York Post.
Pemilik kafe Eiscafé Rino, Thomas Micolin menghasilkan aiskrim tersebut dan memuat naik gambarnya di laman Instagram.
“Kami dibanjiri dengan kritikan, pujian dan kejutan, malah ramai yang ingin tahu mengenai perisa baharu aiskrim kedai kami,” katanya.
Tambah Micolin, dia bekerja keras sepanjang musim sejuk lalu untuk menghasilkan manisan itu dan memperkenalkannya tanpa rasa bimbang.
“Saya telah makan pelbagai benda termasuk yang pelik. Cengkerik adalah sesuatu yang saya selalu ingin cuba makan dalam bentuk aiskrim,” maklumnya.
Aiskrim berkenaan dihasilkan menggunakan tepung diperbuat daripada cengkerik, krim berat, ekstrak vanila dan madu selain cengkerik kering diletakkan di bahagian atas sebagai ‘topping’.
Walaupun dikritik, Micolin yakin bahawa masih ramai pelanggan yang mahu dan berani mencuba perisa itu.
“Mereka yang berani mencuba aiskrim tersebut amat berminat dan teruja. Ada pelanggan yang datang ke kedai setiap hari dan membeli aiskrim tersebut,” ujarnya.