DANG WANGI: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menegaskan tidak berkompromi dengan mana-mana ahlinya yang menyalahgunakan platform ini untuk menipu atau memperdaya orang ramai.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telus melindungi hak pengguna, tidak pernah menutup pintu pada mana-mana pihak untuk melakukan aktiviti sukarelawan bersama.
Bagaimanapun katanya, NGO ini tidak akan bertoleransi jika ada ahlinya yang melanggar undang-undang negara ini.
“PPIM bersikap terbuka kepada mana-mana untuk bekerjasama dan sentiasa membantu usahawan-usahawan untuk bangkit dan berkembang.
“Namun jika ada ahli atau aktivis yang menggunakan platform ini untuk agenda lain yang boleh menganiaya orang lain, mereka akan dipecat.
“PPIM kekal prinsip melindungi pengguna bukan penjenayah,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Beliau turut mengulas isu seorang usahawan yang juga aktivis PPIM direman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu atas kesalahan memalsukan dokumen menggunakan kepala surat logo Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Ia susulan pendedahan MEDIA VARIASI mengenai modus operandi pemalsuan dokumen pesanan pembelian atau ‘purchase order’ (PO) menggunakan logo MAIS sehingga menyebabkan penasihat PPIM rugi RM660,000.
MAIS pada 17 Februari lalu mengesahkan dokumen berkenaan palsu dan membuat laporan polis, susulan itu pengadu iaitu penasihat PPIM, Datin Che Roslina Che Othman turut membuat satu laporan polis mengenainya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi MEDIA VARIASI mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan ke atas kes itu.
Suspek ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan.
Sumber memaklumkan suspek berkenaan memiliki rekod lampau iaitu antara tahun 2010 hingga 2013 membabitkan mangsa berbangsa Cina dan dua Melayu dengan kerugian bernilai RM3.2 juta.
Suspek pernah dituduh di mahkamah namun kesnya selesai di luar mahkamah.
Bagaimanapun suspek dipercayai mengulang semula perbuatannya, modus operandi sama dan kali ini mangsa membabitkan Penasihat PPIM.
Terdahulu, usahawan itu secara menipu melakukannya bagi tujuan mendapatkan dana projek bantuan bakul makanan (Food Bank) dipercayai tidak wujud.
Sasarannya adalah pihak berkepentingan yang juga mempunyai hubungan baik dengan PPIM.
Che Roslina mendedahkan, individu itu sengaja menggunakan kepala surat rasmi MAIS agar ia nampak lebih meyakinkan.
Usahawan ini mulanya datang ke PPIM kononnya untuk meminta bantuan bagi membuka syarikat kerana sudah disenarai hitam, namun mahu membuka akaun melibatkan PPIM sebagai ‘distributor’ dan menggunakan alamat pejabat PPIM bagi urusan rasminya.