PUTRAJAYA: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tidak akan lagi menjadi penyelia tunggal perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 September 2024, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Ia berikutan keputusan mesyuarat Kabinet pada 17 Mac lepas agar perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor dibuka kepada mana-mana pihak yang berkelayakan, katanya.
Beliau berkata, proses pelawaan kepada syarikat swasta yang berminat dalam perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor dijangka bermula selewat-lewatnya suku pertama 2024.
“Ketetapan ini bermakna Puspakom tidak lagi akan menjadi penyelia tunggal perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi pihak JPJÂ bermula 1 September 2024,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Loke berkata, keputusan itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan persekitaran perkhidmatan yang berdaya saing serta memudahkan orang ramai.
Katanya, ini ekoran rungutan orang ramai berkait isu efisien apabila terpaksa menunggu berjam-jam untuk pemeriksaan, serta cawangan Puspakom yang terhad di sesetengah kawasan.
Bagi melaksanakan keputusan itu, beliau berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) dan JPJ akan membangunkan syarat kelayakan, peraturan pengoperasian, skop perkhidmatan, penetapan lokasi pemeriksaan dan garis panduan.
Menurutnya syarikat swasta yang berminat diwajibkan memenuhi syarat yang sama dikenakan kepada Puspakom termasuk kewajiban melantik pekerja yang memenuhi syarat kelayakan ditetapkan sahaja.
Selain itu, katanya pihak berkenaan perlu menyedia dan menggunakan peralatan pemeriksaan berkomputer yang dikawal selia dan diluluskan oleh JPJ, menyediakan perkhidmatan dengan mematuhi skop, standard dan prosedur pemeriksaan motor serta mengenakan kadar fi pemeriksaan seperti yang telah ditetapkan sahaja.
“Pihak swasta yang berminat tidak dibenarkan sama sekali menawarkan perkhidmatan pembaikan atau ubah suai kenderaan serta penjualan alat ganti,” katanya.
Dalam pada itu, Loke berkata perjanjian konsesi Puspakom yang akan tamat 31 Ogos 2024 akan dilanjutkan 15 tahun lagi dengan penambahbaikan terma perjanjian sedia ada.
Beliau berkata keputusan itu mengambil kira bahawa pusat tersebut telah menjalankan fungsi pemeriksaan bagi pihak JPJ dengan baik dan memenuhi tahap perkhidmatan yang ditetapkan.
Namun, katanya Puspakom diminta melaksanakan beberapa penambahbaikan termasuk pindaan ke atas prosedur dan skop pemeriksaan berkala yang ditetapkan bagi meningkatkan tahap kualiti dan integriti pemeriksaan, seperti memperluaskan elemen automasi dan penggunaan peralatan komputer.
Loke berkata, Puspakom juga perlu memodenkan proses pemeriksaan sesuai dengan perkembangan teknologi semasa dengan penggunaan peralatan komunikasi teknologi tinggi, sensor atau kamera bagi membolehkan pemeriksaan dipantau secara masa sebenar dalam talian oleh pengguna, MOT dan JPJ.
Menurutnya, pusat itu juga diminta meningkatkan tahap kompetensi kakitangan dengan penyediaan sistem latihan pembangunan sumber manusia yang lebih berkesan dan relevan dengan keperluan semasa; menambah baik proses penempahan dan aduan pelanggan; serta memasang sistem kamera keselamatan litar tertutup (CCTV) di semua pusat pemeriksaan bagi tujuan kawalan dan pemantauan masa sebenar.
Katanya, Puspakom juga perlu menambah baik skop pemeriksaan kenderaan seperti pemeriksaan dalaman, pemeriksaan ‘under body’ dan pemeriksaan motosikal bagi meningkatkan tahap keselamatan teknikal dan ‘road-worthiness’ kenderaan di atas jalan terutamanya melibatkan kenderaan pengangkutan awam dan barangan.
Loke berkata, Puspakom juga perlu membuat pindaan kepada skop atau elemen petunjuk prestasi utama (KPI) bagi menambah baik komponen pengauditan, aspek tadbir urus, tahap penyampaian perkhidmatan, kualiti pengauditan dan kadar penalti yang akan dikenakan – BERNAMA