HomeBeritaMahkamah & JenayahPuteri Sarah enggan berdamai, nekad cerai

Puteri Sarah enggan berdamai, nekad cerai

KUALA LUMPUR: Pelakon, Puteri Sarah Liyana nekad bercerai sekali gus menjadi punca proses damai dengan pengarah kontroversi, Syamsul Yusof di Jabatan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sini, hari ini, gagal.

Proses berkenaan gagal menemui jalan penyelesaian menerusi Jawatan Kuasa Pendamai (JKP).

Puteri Sarah Liyana masih konsisten dengan pendiriannya untuk bercerai, malah tidak mahu rundingan lanjut dalam proses JKP berikutan hatinya telah tertutup.

“Saya masih kekal dengan keputusan untuk bercerai dan enggan berdamai. Cukup-cukuplah saya sudah penat,” katanya kepada media.

Puteri Sarah Liyana dan Syamsul dilaporkan diarah oleh Hakim Syarie, Akmalludin Ilyas melalui proses JKP pada 7 Mac lalu.

Pelakon drama Aku Seorang Perempuan itu juga akui sudah tawar hati untuk melihat wajah Syamsul.

“Saya memang tak mahu bersemuka dengannya dan meminta kami bertemu dengan JKP secara berasingan. Saya minta dilepaskan.

“Apa yang disebutkan tadi di hadapan ustazah akan dibawa kepada sebutan kedua di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada April depan.

“Kalau dia (Syamsul) tak nak juga (lafazkan cerai), saya akan gunakan hakam,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jawi usai proses yang berlangsung lebih sejam itu.

Puteri Sarah ditemani adiknya, manakala Syamsul pula membawa sepupunya bagi proses rundingan melibatkan Jawatankuasa Pendamai itu.

7 Mac lalu, Puteri Sarah dan Syamsul diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh antara alasan yang dikemukakan Puteri Sarah untuk bercerai ialah sudah tidak ada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.

Syamsul pula sebelum ini memaklumkan enggan menceraikan isteri pertamanya kerana yakin rumah tangga mereka boleh diselamatkan, selain masih menyimpan perasaan sayang terhadap Sarah.

Author

Pilihan Editor