HomeHiburanSyamsul gesa Puteri Sarah terima Ira Kazar, bincang isu giliran bermalam

Syamsul gesa Puteri Sarah terima Ira Kazar, bincang isu giliran bermalam

KUALA LUMPUR: Selepas setahun tidak pulang ke rumah, pengarah kontroversi, Syamsul Yusof menggesa Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin menerima isteri keduanya, Ira Kazar.

Malah, Syamsul juga mahu adakan perbincangan dengan Puteri Sarah mengenai giliran bermalam.

Syamsul turut menzahirkan kekecewaannya kerana gagal bersua muka dengan Puteri Sarah melalui Jawatankuasa Pendamai (JKP) di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini, bagaimanapun menghormati proses mahkamah yang dijalankan secara berasingan.

“Melalui proses JKP pagi ini saya harap dapat berjumpa Sarah, tapi malangnya proses itu dijalankan secara berasingan. Saya akur dan mengharapkan masalah rumah tangga kami ini dapat diselesaikan secara baik.

“Saya juga mahu Sarah menerima poligami ini. Saya mahu berbincang mengenai giliran untuk bermalam bersama isteri-isteri. Kalau dia tidak mahu, saya tetap ingin berbincang.

“Saya sangka dapat bersemuka dengan dia tadi tapi proses JKP bukan sebegitu. Sebenarnya saya kecewa namun hanya ikut proses mahkamah dan mampu buat yang terbaik,”katanya ketika ditemui selepas proses JKP berakhir yang dianggarkan berlangsung hampir dua jam.

Pada masa sama, Syamsul menegaskan, penyelesaian untuk berpisah bukan mudah baginya, sebaliknya banyak faktor lain yang perlu difikirkan.

“Orang selalu cakap kenapa saya enggan menceraikan dia. Pertama sekali, kami adalah pasangan suami isteri dan lebih tahu urusan rumah tangga dan hal dalam kain.

“Perceraian bukan perkara yang mudah untuk dilakukan. Hakikatnya ramai orang yang mengalami masalah besar selepas bercerai seperti tuntutan hak penjagaan anak, nafkah dan macam-macam lagi.

“Jadi sebab itulah saya nak sangat bertemu Sarah untuk berbincang dan menyelasaikan masalah ini dengan baik dan harmoni,” katanya.

Dalam pada itu, Syamsul memberitahu, dia akan mempertimbangkan permintaan Sarah untuk dilepaskan sekiranya wanita itu bersedia untuk bersemuka.

Author

Pilihan Editor