LONDON: Pewaris takhta, Putera dan Puteri Wales pada Khamis melawat sukarelawan yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.
Putera William dan Kate Middleton bertemu wakil dari Pusat Muslim Hayes dan wakil daripada badan amal ahli Jawatankuasa Kecemasan Bencana (DEC), termasuk pasukan bantuan yang baharu pulang dari zon krisis di Turkiye, lapor Agensi Anadolu.
Pasangan itu juga menyertai komuniti lain dalam melaksanakan pelbagai usaha mengumpul dana sebagai sebahagian daripada bantuan.
Pengumpulan dana UK besar-besaran yang dilancarkan oleh DEC berjaya mengumpul £100 juta.
Tabung derma itu dilancarkan pada 9 Februari termasuk derma £5 juta oleh kerajaan Britain melalui skim Bantuan UK.
DEC bertindak menghimpunkan 15 badan amal utama UK termasuk Palang Merah British, Oxfam dan ActionAid bagi mengumpul dana yang akan menampung bantuan perubatan, tempat perlindungan kecemasan, makanan dan air bersih.
Pada 6 Feb, gempa bumi dengan kekuatan 7.7 dan 7.6 pada skala Richter melanda selatan Turkiye.
Gegaran yang berpusat di wilayah Kahramanmaras itu mengorbankan lebih 46,100 nyawa manakala 13.5 juta orang terjejas akibat bencana itu. – BERNAMA