AMPANG: Nama Seri Melayu yang dipilih sebagai tema Buffet Ramadan pada tahun lalu telah membawa tuah buat pemilik Culture Events Wedding Avenue, Syed Budrizz.
Ini kerana, nama ini berjaya menarik ramai peminat setia juadah berbuka puasa ala kenduri kahwin dengan resipi warisan Melayu.
Buffet Seri Melayu sebelum ini diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur namun kali ini memilih Flamingo Plaza@ Flamingo Hot Jalan Ampang sebagai tempat menyediakan juadah ini.
Syed Budriz menceritakan faktor pemilihan nama Seri Melayu mula tercetus daripada senarai nama tema untuk pengusaha buffet pada tahun lalu.
“Daripada senarai itu saya tertarik dengan nama Seri Melayu yang sesuai dengan kepakaran kami dalam menguruskan majlis kenduri kahwin sejak 13 tahun lalu.
“Pada awal seminggu sahaja kurang sambutan namun selepas itu meletup dengan tempahan sehingga 200 orang sehari dan perolehan pendapatan mencecah RM290,000 sepanjang Ramadan.
“Bagaimanapun nama jenama sebenarnya tidak penting, apa yang lebih utama adalah komited kepada pelanggan, beri mereka apa yang mereka perlukan, apa yang mereka mahukan, pasti mereka ‘melekat’ tak pilih yang lain,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Beliau berkata demikian pada hari pertama Buffet Ramadan Seri Melayu diadakan di Flamingo Plaza@Flamingo Hotel pada 26 Mac dan berakhir lima hari sebelum menyambut Hari Lebaran.
Turut hadir, Pengurus Majlis Buffet Seri Melayu, Iswandi Ishak.
Harga Buffet Seri Melayu bagi dewasa adalah RM78 manakala kanak-kanak pula RM48 dengan lebih 60 menu ala kampung dimasak menggunakan resipi orang lama.
Suasana dekorasi mewah, harga berbaloi dengan tambahan segmen hiburan dengan persembahan tarian tradisional oleh penari-penari Flamingo Plaza@Flamingo Hotel dan nyanyian oleh kumpulan One Avenue ketika tetamu menikmati juadah.
Antara menu wajib seperti daging masak hitam, ayam masak merah, daging kambing kurma, ikan masak masam manis, ulam-ulaman, sambal belacan, kuih muih, cendol dan paling terkenal kambing bakar.
Menu disediakan oleh Cef Mim atau nama sebenarnya Shameem Norzan yang berpengalaman luas dalam bidang makanan termasuk pernah berkhidmat di Hotel Palace of Golden Horses yang bertaraf lima bintang.
Pelanggan boleh makan sepuas-puasnya sehingga jam 9.30 malam, boleh menunaikan solat Terawih bersama di ruang disediakan, dan terus sambung makan selepas itu.
Kebanyakan pelanggan adalah pelanggan setia Culture Events Wedding Avenue sejak beberapa tahun lalu dan kini turut memberi sokongan terhadap Buffet Seri Melayu.
Dalam pada itu, Iswandi tidak lupa memberitahu antara faktor perubahan lokasi Buffet Seri Melayu dari hotel terdahulu dan Flamingo adalah disebabkan Flamingo mesra Orang Kurang Upaya (OKU).
“Di sini masuk terus sampai ke dewan, tak perlu naik turun lif sebagainya, kemudahan amat mesra OKU,” katanya.
Orang ramai yang berminat boleh buat tempahan di nombor 0196379930.