PETALING JAYA: Penyanyi, Sufian Suhaimi mengakui sedang mengenali hati budi seseorang dengan lebih mendalam.
Sufian, 32, baru-baru ini berkongsikan bahawa dia mula berkenalan dengan ‘seseorang’ itu sejak tahun lepas.
Penyanyi yang popular dengan lagu Di Matamu itu turut menyatakan bahawa ‘si dia’ bukanlah dalam kalangan selebriti.
“Nak cerita apa lagi ya? Dia seorang pelajar dan berasal dari Selangor. Itu sahaja. Sebenarnya saya tak mahu berkongsi sangat mengenai dia. Bukan berahsia dengan mana-mana pihak, cuma tak mahu itu menjadi tajuk utama berita tentang saya,” katanya seperti dilapor Utusan.
Dalam pada itu, Sufian turut menyatakan bahawa dia hanya mahu memberi fokus kepada perkembangan kerjayanya selaku anak seni di Malaysia.
“Lebih baik kita fokus kerjaya seni, ada lagu baharu kan,” seloroh Sufian.
Bercerita tentang lagu baharu, Sufian kali ini tampil dengan single berjudul ‘Budi’ yang turut menampilkan duo hip hop hebat, Kmy Kmo dan Luca Sickta.
“Lagu Budi ini unik dan istimewa kerana ada elemen tradisional dan digabungkan dengan hip hop. Saya teruja kerana dapat juga berkongsi budaya dan seni dengan generasi muda menerusi lagu.
“Sebenarnya saya sudah mengikuti Kmy Kmo dan Luca Sickta ini dari dulu lagi. Memang ada banyak permintaan untuk saya bergandingan dengan mereka.
“Tetapi seronok apabila berpeluang menjayakan projek dengan Luca Sickta kerana ada yang mengatakan wajah kami ada iras,” ujarnya.