HomeBeritaPenganjur boleh dikenakan tindakan jemput penceramah tanpa tauliah

Penganjur boleh dikenakan tindakan jemput penceramah tanpa tauliah

JOHOR BAHRU: Mana-mana penganjur acara menjemput penceramah tanpa tauliah Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana dianggap bersubahat.

MAINJ dalam satu kenyataan berkata, pihaknya bukan sahaja mengambil tindakan terhadap individu yang didapati mengajar atau memberi syarahan agama Islam tanpa tauliah, tetapi juga kepada penganjur acara atau program berkenaan.

Penganjur acara yang menjemput penceramah tanpa tauliah MAINJ adalah dianggap melakukan kesalahan penyubahatan mengikut Seksyen 43 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

“Jika sabit kesalahan, boleh dedenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid; Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Jamaluddin A Hamid.

Kenyataan yang dikeluarkan sebagai menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang memberi penegasan terhadap penceramah perlu memiliki tauliah mengajar dan memberi syarahan agama Islam di negeri ini, dimuat naik dalam Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dalam kenyataan sama, mereka yang didapati mengajar dan memberi syarahan agama Islam di negeri ini tanpa tauliah adalah melakukan kesalahan yang boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 dan Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

Katanya, mereka yang diambil tindakan atas kesalahan itu boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kenyataan itu menyatakan, tauliah yang dituntut oleh MAINJ adalah meliputi kawasan masjid dan surau serta mana-mana tempat dalam negeri ini.

“Selaras dengan Seksyen 118(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003, antara kaedah mengawal doktrin dan fahaman yang menyeleweng dari hukum syarak di negeri ini adalah dengan memastikan mereka yang mengajar dan memberi syarahan agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam hendaklah memiliki tauliah daripada MAINJ.

“MAINJ adalah pihak berkuasa agama Islam yang menjaga urusan hal ehwal masyarakat Islam di negeri ini supaya mematuhi hukum syarak yang berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah yang syariatnya berlandaskan mazhab Shafie tanpa menolak mazhab muktabar lain serta bertasawuf berlandaskan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali,” katanya.

Oleh itu, tegasnya, masyarakat Islam di negeri ini hendaklah mematuhi undang-undang yang telah dikanunkan demi memastikan syiar Islam yang benar dan betul ditegakkan dan dilaksanakan di negeri ini.

Author

Pilihan Editor