HomeHiburan'Syamsul terlambat, Puteri Sarah sudah tawar hati'

‘Syamsul terlambat, Puteri Sarah sudah tawar hati’

KUALA LUMPUR: Apabila seorang wanita yang pernah menyayangi dan mencintai pasangannya, sudah tawar hati, ia bermakna hubungan itu tamat sampai di situ sahaja.

Ketika itulah, wanita itu sudah tidak rasa apa-apa, sedih tidak, marah tidak, kecewa pun tidak, cuma mahu mulakan hidup baharu.

Itu antara tanda-tanda wanita tawar hati terhadap pasangan yang pernah didedahkan oleh pakar kanak-kanak di hospital kerajaan, Dr Redza Zainol yang gemar berkongsi ilmu ‘parenting’ dan kesihatan kanak-kanak.

Apabila pelakon, Puteri Sarah Liyana memberitahu umum bahawa dia sudah tidak ada perasaan lagi terhadap suaminya yang juga seorang pengarah terkenal, Syamsul Yusof, di situ dapat difahami bahawa dia benar-benar mahu dilepaskan.

Puteri Sarah meluahkan rasa kecewa dengan keputusan Syamsul yang enggan melepaskannya atas alasan kononnya masih mempunyai jalan perdamaian, yang disifatkan semakin merumitkan keadaan.

“Lepaskan sahaja saya. Sudah ada isteri baharu dan tak mengambil endah pasal saya, kenapa tiba-tiba baru hari ini nak tersedar? Saya memang tak nak.

“Kalau baru hari ini nak tersedar yang akan kehilangan isteri, sudah terlambat. Perbincangan sepatutnya berlaku tiga tahun lepas.

“Saya hanya mahu dilepaskan dan ingin meneruskan kehidupan baharu. Saya sudah tidak ada perasaan lagi terhadapnya,” katanya ketika ditemui selepas sebutan kes tuntutan cerai di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, pada Selasa.

Ditanya reaksinya ketika bertemu suami buat kali pertama selepas setahun ketika dalam kamar mahkamah, Puteri Sarah menjelaskan, perasaannya kosong dan tidak mahu ambil peduli kewujudan Syamsul.

“Rasa biasa sahaja. Tiada apa yang luar biasa. Saya tak pandang pun, tak tahu dia tengok saya atau sebaliknya.

“Saya hanya mahu terus pandang ke depan. Dah la, bye-bye,” katanya lagi.

Prosiding berkenaan yang juga hari sambutan ulang tahun perkahwinan kesembilan pasangan sensasi, Syamsul Yusof, 39, dan Puteri Sarah Liyana, 38, tidak lagi memberi makna apabila kemelut rumah tangga sejak tiga tahun lalu menemui jalan buntu.

Terdahulu, Puteri Sarah dan suaminya, Syamsul diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah, di sini, hari ini melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

Pada prosiding itu, Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader, manakala Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof hadir bersama peguam syarie, Roshdan Sujak.

Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Berdasarkan dokumen diperoleh, antara alasan dikemukakan Puteri Sarah untuk bercerai ialah sudah tidak ada persefahaman dan wujud shiqaq (perbalahan berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.

Permohonan cerai difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Author

Pilihan Editor