HomeBeritaViralMentega Terbang: Saya tak mahu komen, saya belum tonton sepenuhnya - Erma...

Mentega Terbang: Saya tak mahu komen, saya belum tonton sepenuhnya – Erma Fatima

CYBERJAYA: Pengarah dan penerbit terkenal, Erma Fatima berpendapat tidak adil untuknya mengulas sesuatu perkara yang tidak dilihat sendiri dan hanya bersandarkan rakaman sekerat-sekerat sahaja.

Beliau mengambil pendekatan untuk tidak mengulas sebarang komen berhubung filem Mentega Terbang, arahan Mohd Khairi Anwar Jailani.

Sebagai penggiat seni negara, Erma Fatima tidak mahu memberi ulasan selagi tidak menonton filem itu sendiri.

Ini kerana, katanya, tidak adil baginya untuk menilai sebuah filem berdasarkan babak sekerat-sekerat seperti yang ditularkan.

“Saya orang filem, saya tidak akan komen filem itu sekiranya saya tidak tonton daripada awal sampai akhir.

“Tidak adil untuk saya beri komen sekiranya hanya beberapa cebisan daripada drama itu yang dipaparkan,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Erma berpendapat, filem itu mungkin memberi mesej untuk masyarakat yang tidak didedahkan.

“Mungkin ada mesej disebaliknya, tapi saya tidak akan beri komen selagi saya tak tengok,” katanya.

Terdahulu, Erma ditemui pada program kunjungan Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Amna Baloch ke Malakat Mall, di sini.

Program dianjurkan pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), turut dihadiri Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan; Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim; dan beberapa usahawan tempatan.

Polis dilaporkan telah memulakan siasatan terhadap filem ‘Mentega Terbang’ yang didakwa cuba menyebar dan mempersendakan agama Islam selepas menerima laporan polis.

Setakat ini sebanyak lapan laporan telah diterima di seluruh negara.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ada memberi ulasan tentang filem berkenaan di laman blognya selepas menonton filem itu, namun berhasrat menemui pengarah filem berkenaan.

Sebelum ini, pihak yang mewakili filem ‘Mentega Terbang’ menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mereka cuba menyebarkan ajaran sesat yang berunsur menghina agama Islam

Mohd Khairi juga telah mengemukakan notis tuntutan kepada penulis, Zabidi Mohamed supaya memadamkan segera kenyataan yang mengaitkan filem itu sebagai mempermain dan mempersendakan agama Islam.

Author

Pilihan Editor