PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memaklumkan, tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan luar jangka empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, empat kerusi DUN itu adalah Seberang Jaya, Sungai Acheh, Bertam dan Telok Bahang.
Tambah beliau, pihaknya menerima pemakluman daripada Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang melalui surat semalam berhubung status kekosongan luar jangka empat kerusi DUN terbabit selepas usul pengisytiharan kekosongan di bawah perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.
“Berdasarkan pemakluman tersebut dan mengambil kira proviso di bawah Fasal (5) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, tiada keperluan untuk SPR mengadakan pilihan raya bagi mengisi kekosongan luar jangka memandangkan DUN Pulau Pinang akan terbubar dalam tempoh kurang dari dua tahun,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Terdahulu, sidang DUN Pulau Pinang meluluskan usul bagi mengisytiharkan pengosongan empat kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu.
Empat ADUN itu ialah Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkfili Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang) turut diarah keluar meninggalkan dewan.