HomeBeritaMahkamah & JenayahIbu mentua Puteri Sarah tawar jadi pencelah antara anak dan menantu

Ibu mentua Puteri Sarah tawar jadi pencelah antara anak dan menantu

KUALA LUMPUR: Ibu mentua pelakon, Puteri Sarah Liyana menawarkan diri untuk menjadi pencelah dan saksi berhubung prosiding permohonan perceraiannya dengan pengarah, Syamsul Yusof.

Puteri Sarah Liyana yang mendedahkan perkara itu berkata, Patimah ada menghubunginya dan menyatakan kesudian.

Dakwanya, ibu mentuanya lebih tahu kemelut yang berlaku sepanjang tempoh kemelut rumah tangga pasangan itu.

“Pagi tadi mak mentua saya (Patimah) WhatsApp hubungi saya untuk mencelah dan ingin menjadi saksi apabila berhadapan dengan orang ketiga dan Syamsul,” katanya kepada media ditemui di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, peguam syarie kepada Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kader memberitahu Mahkamah Rendah Syariah, di sini, ketika prosiding sebutan kes permohonan cerai, bahawa Syamsul memukul isterinya, pada tahun 2020.

Katanya, kejadian itu memaksa Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, keluar daripada rumah yang diduduki.

Kejadian dipukul antara fakta yang dikemukakan mengapa Sarah membuat keputusan keluar rumah, selepas Syamsul menuduhnya bertindak keluar dari rumah (nusyuz).

Akberdin menambah, Puteri Sarah hanya pulang semula ke rumah itu selepas dipujuk kedua-dua mentuanya.

Pada prosiding sama, Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan Syamsul dan Puteri Sarah supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka, selepas pengarah berkenaan enggan melepaskan isterinya.

Pada prosiding itu, Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, 39, diwakili peguam syarie, Roshdan Sujak.

Terdahulu, Syamsul dan Puteri Sarah tiba di pekarangan mahkamah secara berasingan.

Puteri Sarah dilaporkan sebelum ini memfailkan permohonan penceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Punca utama tuntutan cerai dibuat kerana sudah tiada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.

Puteri Sarah mendedahkan, dia dan anak-anak tidak lagi tinggal bersama suami, sama ada di rumah mentua mahupun di rumah kelamin.

Hal ini berikutan akibat tekanan dan gangguan yang berpunca daripada pihak ketiga sehingga telah lama tidak pulang ke rumah.

Untuk rekod Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4,.

Author

Pilihan Editor