HomeBeritaAnggota polis ditempatkan di laluan utama banjir, pantau pergerakan, elak kecurian

Anggota polis ditempatkan di laluan utama banjir, pantau pergerakan, elak kecurian

 

BATU PAHAT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan anggotanya di laluan masuk utama ke kawasan dilanda banjir sekitar Johor bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan melakukan jenayah curi apabila mangsa mengosongkan rumah mereka.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung tindakan mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pulang ke rumah dengan menggunakan bot kecil dan perahu untuk mengambil barang.

“Kita akan pastikan bahawa orang itu adalah penduduk kampung itu sendiri dan kita tidak mahu orang luar bawa barang yang ditinggalkan di rumah (mangsa banjir).

“Selain memantau keselamatan rumah mangsa yang berpindah, kita turut memastikan kenderaan yang diletakkan di tepi jalan tidak terkena banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan menggunakan bot di tiga kampung iaitu di Kampung Sekuang, Seri Bengkal dan Parit Yaani, Batu Pahat di sini, hari ini.

Bagaimanapun, setakat ini, Kamarul Zaman berkata, pihaknya tidak menerima laporan berhubung kehilangan atau kecurian yang dialami mangsa banjir.

Sebelum ini, Kamarul Zaman berkata, lebih 4,000 anggota polis dikerahkan bagi operasi banjir sekitar Johor dengan bantuan daripada Pasukan Gerakan Am dan agensi keselamatan lain.

Selain itu, beliau berkata, dua helikopter milik PDRM dan sebuah helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia digunakan semasa operasi menyelamat mangsa banjir di Johor bagi mengeluarkan mangsa dan menghantar bekalan makanan ke kawasan pedalaman serta sukar dilalui menggunakan kenderaan.

Berhubung perkembangan banjir di Johor, Kamarul Zaman berkata mangsa yang dipindahkan ke PPS semakin menurun dan ini menunjukkan perkembangan yang positif.

Katanya, bilangan kampung yang terjejas akibat banjir di Johor yang dilaporkan melebihi 500 sebelum ini, telah berkurangan kepada kira-kira 300 kampung.

Beliau berkata setakat ini, 58 jalan masih ditutup dan orang ramai dinasihatkan agar tidak cuba meredah jalan yang dinaiki air kerana tidak mengetahui kedalaman dan arus air ketika itu, seperti kejadian menimpa seorang wanita yang ditemukan lemas di dalam keretanya di Mersing.

“Kita sudah meletakkan kon di laluan tersebut untuk mengelakkan orang menceroboh tetapi mungkin keadaan gelap, mangsa tidak nampak paras dan arus air,” katanya.

Dalam kejadian malam Isnin itu, seorang wanita berusia 23 tahun menjadi mangsa korban banjir kelima di Johor selepas ditemukan lemas dalam keretanya di Jalan Nitar Utama, Mersing, Johor.

Kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu mangsa disyaki dihanyutkan arus deras sejak 6.45 pagi, hari yang sama. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor