HANOI: Hanoi melarang kunjungan ke kedai-kedai kopi yang memenuhi sepanjang landasan kereta api, destinasi popular bagi ramai pelawat asing, untuk memastikan keselamatan pengunjung, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Jabatan Pelancongan Perbandaran berkata, pihaknya telah meminta perniagaan yang menawarkan perkhidmatan pelancongan dan pengangkutan di bandar itu supaya tidak menawarkan lawatan sedemikian dan menggalakkan pelancong, terutama warga asing supaya tidak mengunjungi dan mengambil gambar di kedai kopi.
Jabatan itu juga meminta agensi-agensi berkaitan supaya mematuhi peraturan mengenai keselamatan lalu lintas rel dan ketenteraman bandar dan menugaskan pasukan penyiasatnya untuk meningkatkan pemeriksaan dan menangani sebarang salah laku.
Terdapat lebih 30 kedai kopi di sepanjang landasan kereta api yang melalui wad Hang Bong, Cua Dong, Cua Nam, Hang Ma dan Dong Xuan.
Daerah Hoan Kiem telah berulang kali mengarahkan penutupan kedai kopi di sepanjang landasan kereta api dan meminta penduduk tempatan tidak menjalankan perniagaan ini di tapak berbahaya, namun keadaan tidak menunjukkan sebarang perubahan.
Hanoi menerima kira-kira 978,700 warga asing dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, 5.9 kali lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata Jabatan Pelancongan Perbandaran.
Ibu negara itu menyasarkan untuk menyambut 22 juta pelancong tahun ini. – BERNAMA-VNA