GEORGE TOWN: Seorang kanak-kanak perempuan rentung dalam kejadian kebakaran membabitkan dua buah rumah di Kampung Pisang, Jalan Paya Terubong di sini, malam tadi.
Mangsa G. Sri Laavanya, 7, meninggal dunia dalam kebakaran itu manakalanya neneknya melecur di tangan namun dilaporkan stabil.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Mohd Shakir Abdullah berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.19 malam dan jentera pertama tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian.
“Sebaik tiba kami mendapati dua buah rumah yang terletak bersebelahan dengan setiap rumah berkeluasan 464 meter persegi sedang terbakar dan api marak, pihak bomba menjalankan operasi pemadaman.
“Kami turut menerima maklumat awal memaklumkan terdapat seorang kanak-kanak yang terperangkap di dalam rumah dan selepas kerja pemadaman selesai, pihak bomba menjalankan pemeriksaan dan menemukan mayat mangsa dalam keadaan rentung,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd Shakir berkata, mayat kanak-kanak perempuan itu ditemukan dalam bilik tidur di rumah pertama yang terbakar lebih 80 peratus pada 12.33 tengah malam tadi manakala rumah kedua terbakar kira-kira 50 peratus.
Katanya, kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke rumah berhampiran pada 12.45 tengah malam dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 10 minit kemudian.
“Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat,” katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan Bahagian Penyiasatan Kebakaran (FIO) bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran tersebut. -BERNAMA