HomeHiburanKeluar lagu raya, Ryan Bakery dah ‘ready’ dikecam?

Keluar lagu raya, Ryan Bakery dah ‘ready’ dikecam?

CYBERJAYA: Personaliti media sosial, Ryan Bakery, baru-baru ini menyatakan bakal mengeluarkan lagu terbaru kolaborasi bersama penyanyi, Andi Bernadee berjudul ‘Raya Last Minit’.

Ryan atau Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 28, berkata, dia sudah bersedia untuk menerima segala kritikan dan kecaman daripada pelbagai pihak susulan keputusannya untuk menceburi bidang nyanyian.

“Memanglah saya tidak pernah pergi kelas vokal sebelum ini, tapi saya sering menyanyi dan seorang ‘kaki karaoke’. Jadi untuk menyanyi itu tidak menjadi masalah besar.

“Ketika menyanyi dalam program televisyen sebelum ini pun ada yang katakan saya boleh ke arah itu. Dari situ timbul keyakinan untuk mencuba,” jelasnya seperti dilapor mStar.

Tambah Ryan, kehadirannya dalam industri nyanyian hanyalah untuk mewarnai industri seni dan berharap orang ramai dapat menerimanya.

“Kalau ada peminat atau penyanyi sendiri yang kurang senang, itu terpulang kepada mereka. Saya tampil dengan lagu baharu untuk mewarnai lagi industri seni ini.

“Apa salahnya untuk saya tunjukkan bakat? Bukannya saya jadi penyanyi untuk jahanamkan industri.

“Sejak awal bergelar content creator lagi sudah banyak kecaman saya dapat. Kalau komen negatif saya tolak tepi. Jika ada yang baik saya akan ambil untuk perbaiki diri,” ujarnya.

Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)

Author

Pilihan Editor