CYBERJAYA: Menjelang hari raya Aidilfitri, pasti banyak juadah yang disajikan seperti ketupat, rendang, lemang, nasi himpit serta lontong.
Tahukah kalian asal-usul lontong yang sebenar?
Untuk pengetahuan umum, di Malaysia lontong sering dimakan bersama kuah lodeh.
Lontong adalah makanan menyerupai nasi himpit yang dibalut menggunakan daun pisang. Manakala lodeh pula seakan-akan kuah masak lemak yang mengandungi tempe, kacang panjang, kobis, lobak dan tauhu.
Bercerita tentang sejarah, lontong sebenarnya berasal dari Jawa lalu dibawa oleh perantau dari sana ke Tanah Melayu lantas menyebarkan menu berkenaan terutamanya di negeri Johor sehingga menjadi antara hidangan ikonik Malaysia.
Namun, kini hidangan lontong bersama kuah lodeh sudah dikenali sebagai lontong sahaja.
Malah, rata-rata masyarakat di Malaysia kini dilihat lebih terbiasa menggantikan sajian lontong menggunakan nasi himpit.
Menariknya di Johor, terdapat dua jenis lontong iaitu lontong basah dan kering atau dipanggil ‘lontong darat’.
Lontong basah adalah lontong yang dihidang bersama kuah lodeh manakala lontong darat pula dimakan bersama sate, kurma daging, serunding kelapa serta sambal bilis.
Kedua-dua jenis lontong ini kebiasaannya dihidang bersama kuah kacang yang merupakan kombinasi sempurna buat orang Johor.
Walaupun lontong darat tidak menggunakan santan akan tetapi lemak dari serunding kelapa begitu terasa dan kombinasi kuah kurma daging itu akan memberi seribu kenikmatan dalam setiap kunyahan.
Justeru, bagi anda yang ingin membuat lontong kuah lodeh tetapi tidak pasti resepi mana yang sedap, jangan risau jom ikuti resepi yang dikongsi oleh ‘Warisan Johor’ di bawah:
Bahan yang diperlukan:
- 8 tangkai kacang panjang (hiris serong)
- 2 keping tauhu dipotong kiub (nak goreng sekejap pun boleh)
- 50 gram fucuk/tauhu kering, potong kecil dan rendam sehingga lembut
- 1 batang lobak merah saiz sederhana, dipotong seperti anak mancis
- 1 biji sengkuang saiz kecil, dipotong seperti anak mancis
- 3 keping tempe, dipotong kiub
- ¼ bahagian kobis bulat, dihiris kecil
- 1 biji kentang saiz besar, kupas dan potong seperti anak mancis
- 1200 ml santan cair
- 400 ml pati santan
- Air jika perlu
- 1 cekak soo hoon, kerat pendek
- 2 batang serai, dititik
- ½ inci lengkuas, diketuk
- 1 kiub pati ikan bilis
- ¾ sudu teh serbuk kunyit
- Garam dan gula secukup rasa
Bahan-bahan kisar halus:
- 1 biji bawang besar
- 4 biji bawang putih
- 3 ulas bawang putih
- 2 sudu besar udang kering, rendam 10 minit dan toskan
Bahan-bahan sampingan:
- Nasi impit/ketupat
- Serunding
- Sambal tumis/ sambal kacang
- Telur rebus
Cara masak:
- Panaskan minyak dalam periuk anggaran ¼ cawan.
- Tumis serai titik dan lengkuas sehingga harum
- Masukkan bahan kisar halus dan serbuk kunyit
- Kacau rata dan masak hingga pecah minyak, guna api kecil dan sentiasa kacau
- Masukkan lobak merah, sengkuang dan kencang
- Kacau rata dan tuang santan cair
- Biarkan mendidih
- Masukkan kiub ikan bilis, tempe, tempe dan fucuk (toskan)
- Masak sehingga lembut
- Masukkan kacang panjang, tauhu dan kobis. Jika kurang kuah, boleh tambah air sedikit
- Biarkan mendidih.
- Tuang pati santan dan perasakan dengan garam dan gula secukupnya
- Akhir sekali, masukkan soo hoon, kacau dan masak dengan api sederhana hingga soo hoon lembut.
- Siap untuk dihidang bersama bahan-bahan sampingan di atas.
*Tips penting: kalau nak kuah lebih pekat, soo hoon jangan rendam, cuma kena lalukan di bawah air paip sebelum dimasukkan dalam kuah lontong. Masak dengan api sederhana sampai soo hon kembang.
Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)