TANAH MERAH: Jus tembikai menjadi pilihan masyarakat Kelantan sebagai pelengkap pemanis dan minuman untuk dihidangkan bersama juadah sempena Aidilfitri.
Seorang peniaga buah-buahan, Farah Diana Nabila Baharuddin, 28, berkata, sejak empat tahun berniaga buah-buahan, tembikai atau dikenali masyarakat Kelantan ‘Timun Cina’ laris pada Ramadan dan Syawal.
“Tembikai mendapat permintaan meningkat dua kali ganda berbanding bulan biasa kerana orang Kelantan gemar menjadikan buah ini sebagai pelengkap juadah berbuka puasa dan dijadikan minuman pada pagi Syawal.
“Kebiasaannya pada Ramadan saya mampu menjual lebih 30 metrik tan tembikai pelbagai jenis iaitu tembikai merah, susu dan labu,” katanya ketika ditemui Bernama di gerainya di Kampung Belimbing berdekatan jalan Pasir Mas-Tanah Merah di sini hari.
Farah Diana berkata, permintaan tinggi terhadap tembikai disebabkan masyarakat memproses buah tersebut menjadi jus sebagai minuman pada hari raya.
Farah Diana berkata, tembikai turut menjadi pelengkap utama sebagai pencuci mulut ketika majlis rumah terbuka dan majlis perkahwinan.
“Saya jual pada kadar harga RM2.50 hingga RM4 sekilogram bergantung kepada gred tembikai,” katanya.
Manakala Hafiz Mat Yunos, 35, berkata, tembikai sangat laris kerana menjadi makanan sampingan kepada masyarakat Kelantan apabila berkumpul bersama ahli keluarga dan rakan-rakan ketika berkunjung pada hari raya.
“Hari ketiga raya saya kembali membuka gerai kerana tembikai ini akan diburu masyarakat di sini untuk dijadikan hidangan kepada tetamu pada majlis-majlis yang diadakan.
“Kebiasaannya tembikai paling mendapat sambutan adalah tembikai merah berbanding tembikai kuning kerana rasanya yang manis sesuai dihidangkan dengan apa jua makanan lain,” katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Bukit Mas.
Hafiz berkata, walaupun ada kenaikan harga, namun keadaan itu tidak menghalang semangatnya untuk terus berniaga buah itu di gerai.
“Saya mengambil bekalan tembikai ini di Besut, Terengganu dan bekalan ini naik RM1 hingga RM2 sekilogram berbanding sebelum ini,” katanya. – BERNAMA