CYBERJAYA: Hati mana yang tidak luluh saat melihat pelamin yang dibina demi hari kebahagiaan pelanggan akhirnya terbiar berselerak di jalan raya hingga basah ditimpa hujan.
Itulah yang dialami seorang perancang perkahwinan, Rozita Hamzah yang mengalami kerugian kira-kira RM10,000 akibat kerosakan barangan pelaminnya itu di Jengka, Pahang.
Menerusi perkongsian di Instagram, pengasas Ita Andaman itu meluahkan rasa kecewa dengan sikap pihak kanopi yang seolah-olah ‘lepas tekak sendiri’ apabila sanggup membiarkan barangan pelamin miliknya dibiarkan seperti longgokan sampah.
“First time sepanjang 22 tahun bekerja dalam bidang ni kami kena macam ni. Bila sampai tempat nak buka pelamin ini yang kami nampak. Barang-barang kami dilonggok ditinggalkan macam sampah di tengah hujan.
“Barang yang sememangnya punca rezeki kami. Barang yang bukan seringgit dua nilai tapi dibuat macam tiada harga. Prop dan barang-barang itu nilainya ribuan ringgit dan ada yang kami dah kena buang pun sebab perbuatan tak bertanggungjawab ini.
“Kerosakan dan kerugian yang kami tanggung sebab sikap tamak dan pentingkan diri oleh pihak kanopi (malas nak sebut kanopi mana). Ada sesiapa yang nak bertanggungjawab? Mesti tak ada kan,” tulisnya beserta beberapa foto memaparkan kerosakan barangan pelamin yang terjadi.
Menurutnya, kejadian tidak diingini itu berlaku akibat kegagalan dalam isu komunikasi antara pihaknya dan pihak penyedia kanopi.
“Kami faham kerja tapi sekurang-kurangnya, bagilah kami masa nak kumpul budak nak ke lokasi rumah pengantin pun dah makan masa lebih 20 minit.
“Nak buang (angkut) barang dalam lori lagi, kalau betul tergesa-gesa nak guna kanopi, kami boleh pergi cabut at least bagi tahu pengantin awal sehari sebelum majlis pihak bridal kena buka awal sebab korang nak pasang kat tempat lain.
“Kami paham laa kami standby lepas habis majlis terus kami cabut sebab kebiasaannya kanopi cabut sehari selepas majlis jika tak mengganggu lalu lintas, ini bila dah nak cabut sangat kanopi baru bagi tahu pengantin suruh call kami untuk buka… mana sempatnya kami… masa tu pukul 5 pengantin call... team saya bukan sorang dua nak kena kumpul.
“Bukan sesuka hati cabut dan tinggalkan macam tu tengah lapang dalam hujan!! Kalau ada hati perut boleh je tinggalkan bawah bustop depan rumah pengantin tu, padahal dah tau kan masa tu mendung dah nak hujan sangat. Mana sifat perikemanusiaan?” soalnya.
Antara kerosakan yang dialami adalah perkakas seperti prop dan platform mengembang akibat terkena air, rona bunga-bunga turun warna, kain terkena besi berkarat dan karpet rosak.
“Di dalam hujan team kami cabut pelamin sepanjang tu juga lah kami berdoa semoga Allah membalas setiap perbuatan kalian dan semoga ada rezeki yang lebih baik buat kami selepas ini. Allah uji tanda sayang.
“Terima kasih sangat-sangat kepada keluarga pengantin yang sedaya upaya selamatkan kerusi pengantin, lampu dan ada sedikit barang yang sempat mereka bawa masuk ke rumah sebelum hujan,” ujarnya.