HomeBeritaMahkamah & JenayahKes dera Bella: Siti Bainun dipenjara 12 tahun

Kes dera Bella: Siti Bainun dipenjara 12 tahun

 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down dikenali Bella, dua tahun lalu.

Hakim Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan Siti Bainun, 31, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan bagi dua pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya Bella, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari hingga Jun 2021.

“Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman pemenjaraan selama tempoh 10 tahun daripada tarikh sabitan. Hukuman pemenjaraan dijatuhkan di bawah OKT dengan ini adalah kesalahan penganiayaan yang merujuk kepada penderaan, hukuman pemenjaraan dijatuhkan selama tempoh 12 tahun dari tarikh sabitan.

“Selain daripada itu, mahkamah ini juga membuat perintah di bawah Seksyen 31 (2)(a) Akta kanak kanak 2001, supaya OKT menandatangani borang berkelakuan baik selama tempoh 5 tahun dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dengan jaminan sebanyak RM5000 sebagai tambahan kepada hukuman yang telah dijatuhkan di bawah seksyen 31 (1) (a) Akta kanak kanak 2001 tersebut.

“Mahkamah juga memerintahkan pemenjaraan selama tempoh 10 tahun dan 12 tahun dari tarikh sabitan yang telah dinyatakan tadi adalah diperintahkan untuk berjalan secara serentak,” kata hakim dalam prosiding hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria dan Shakira Aliana Alias manakala Siti Bainun diwakili peguam Mohammad Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun.

Wartawan Lokasi: AIN JAPRI (Pelatih USM)

Author

Pilihan Editor