WASHINGTON: Sebuah jet pejuang J-16 China melakukan “gerakan agresif yang tidak perlu” semasa memintas pesawat peninjau RC-135 Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) di Laut China Selatan minggu lepas, dakwa Markas Indo-Pasifik AS pada Selasa.
Insiden itu berlaku pada Jumaat, menurut Agensi Anadolu memetik kenyataan daripada markas berkenaan.
“Juruterbang PRC terbang terus di hadapan muncung RC-135 yang sedang menjalankan operasi selamat dan rutin di Laut China Selatan di ruang udara antarabangsa mengikut undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Menurut markas itu, AS akan “terus terbang, belayar dan beroperasi – dengan selamat dan bertanggungjawab – di mana sahaja undang-undang antarabangsa membenarkannya.”
“Pasukan Bersama Indo-Pasifik AS akan terus terbang di ruang udara antarabangsa dengan mengambil kira keselamatan semua kapal dan pesawat mengikut undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA-ANADOLU