HomeHiburanKamal Adli trauma jumpa orang ramai, masih belum temui punca kena pukul

Kamal Adli trauma jumpa orang ramai, masih belum temui punca kena pukul

 

TRAGEDI dipukul lelaki tidak dikenali di Singapura membuatkan pelakon, Kamal Adli kurang gemar menemui orang ramai.

Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 37, berkata, insiden itu juga membuatkan dia trauma sehingga sukar mempercayai orang yang baru ditemui di tempat awam.

“Sekarang ini baru nak okay. Ada kesan jugalah dalam diri ini. Saya tak pernah rasa trauma tu apa, tapi bila dah kena baru tahu.

“Saya jadi tak percaya orang lagi-lagi bertemu individu saya tak kenali. Saya memang tak keluar rumah.

“Haritu saya cuba pergi bazar Ramadan. Selang dua langkah saya toleh belakang,” katanya seperti dilapor mStar.

Kamal berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Mega Spontan yang diadakan di Hotel Vivatel, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kehadiran Kamal dalam acara itu merupakan penampilan sulung buatnya selepas insiden dipukul.

Mengulas lanjut berhubung perkembangan kes, Kamal memaklumkan sehingga kini dia masih belum mendapat sebarang kenyataan kerana suspek belum dibicarakan di mahkamah Singapura.

Katanya, suspek masih dalam tahan polis dan sudah menjalani pemeriksaan mental.

“Saya tak boleh keluar sebarang kenyataan kerana bimbang pihak sana boleh salah guna kenyataan saya buat.

“Apa boleh saya cakap, sekarang sedang tunggu perkembangan dari pihak Singapura. Polis beritahu suspek masih dalam lokap tengah tunggu perbicaraan.

“Suspek juga katanya sudah masuk wad mental selama tiga minggu bagi memastikan sama ada dia ada masalah mental atau tidak,” jelasnya.

Kamal yang merupakan suami kepada pelakon, Uqasha Senrose, turut menyatakan sehingga kini dia masih tidak menemui punca dia menjadi sasaran dipukul.

“Sebelum ini saya ada tanya dia tapi dia tak jawab. Dia gelak saja. Itu yang saya tak puas hati.

“Polis hanya cakap ia berkaitan dengan isu peribadi, mereka pun tak beri penjelasan kepada saya.

“Saya nak tahu kenapa dia pukul sebab isu peribadi atau sebab ada orang hantar. Itu saja yang saya nak tahu,” ujarnya.

Untuk rekod, pada 12 Mac lalu, industri tanah air digemparkan dengan berita Kamal Adli diserang individu tidak dikenali menggunakan cota ketika dia bersama isteri menghadiri acara Hari Raya Mega Sale 2023 di Singapura Expo, Singapura.

Author

Pilihan Editor