HomeBeritaKDN rampas ‘Pride Collection’ Swatch, kait dengan LGBTQIA+

KDN rampas ‘Pride Collection’ Swatch, kait dengan LGBTQIA+

CYBERJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerbu beberapa butik jam tangan jenama Swatch pada 13 dan 14 Mei lalu kerana menjual koleksi jam tangan bertema warna pelangi yang dikaitkan dengan komuniti LGBTQIA+.

Koleksi jam tangan ‘Pride Collection’ itu mencuri perhatian pihak berkuasa menerusi satu hantaran media sosial yang mengaitkannya dengan sokongan kumpulan Coldplay terhadap komuniti LGBTQIA+.

Sebanyak 11 butik Swatch di pusat beli-belah Pavilion, One Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo, Queensbay, Fahrenheit 88 dan Suria Sabah.

Manakala, lima lagi butik di KTCC Terengganu, Aeon Kota Bharu, Aman Central Kedah, City Square dan Viva City Kuching dilaporkan telah diberikan amaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swatch, Nick Hayek Jr, mengakui terkejut seterusnya menzahirkan kekecewaan terhadap rampasan yang dilakukan oleh KDN. 

“Jenama ini diminati kerana percikan kreativiti dan rampaian warna yang menghiasi kualiti jam keluaran Switzerland. Kami amat sangsi bahawa koleksi jam yang menggunakan warna-warna pelangi dengan mesej kedamaian dan kasih sayang boleh membahayakan mana-mana orang.

“Dalam hal ini, kami tertanya-tanya adakah Bahagian Penguatkuasa dan Kawalan, KDN akan ‘merampas’ pelangi-pelangi yang muncul secara semula jadi setiap kali selepas hujan di langit Malaysia,” kata Hayek seperti dilapor The Edge.

Jelas Nick, sejak dari dulu lagi Swatch menghasilkan jam tangan dengan kepelbagaian warna dan rekaan bagi tujuan meraikan kepelbagaian individu daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sehingga hari ini, Swatch Group dilaporkan sedang memohon kepada pihak berkuasa agar koleksi jam tangan yang dirampas itu dapat dipulangkan semula kepada pihaknya.

Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)

Author

Pilihan Editor