PUTRAJAYA: Murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) diberi kebenaran khas untuk memakai pakaian atau baju sukan yang sopan semasa cuaca panas bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada kesihatan.
KPM dalam kenyataan hari ini juga memaklumkan, pemakaian tali leher tidak diwajibkan bagi murid yang memakai pakaian seragam sekolah.
“Pihak sekolah diminta untuk sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa supaya tindakan segera dapat diambil bagi menjamin kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana,” katanya.
KPM berkata, pihak kementerian sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana semasa menghadapi cuaca panas dan kering berpanjangan yang sedang melanda negara.
“Fenomena ini merupakan keragaman iklim yang berlaku secara tidak tetap. Keadaan cuaca panas boleh mencetuskan gelombang haba yang memudaratkan kesihatan,” kata KPM.
Melalui surat siaran Garis Panduan Penutupan Institusi Pendidikan bawah KPM Semasa Cuaca Panas bertarikh 28 April 2023 yang dikeluarkan sebelum ini, pentadbir dibenarkan menutup sekolah jika cuaca panas berada pada tahap amaran dua dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.
Menerusi garis panduan yang berkuat kuasa serta-merta itu, institusi pendidikan di bawah KPM termasuk sekolah dibenarkan ditutup jika kawasan mereka diisytiharkan ‘heatwave’ (gelombang haba) oleh Jabatan Meteorologi (METMalaysia).
Menurut garis panduan itu, semua aktiviti luar yang melibatkan murid, guru dan pensyarah perlu dihentikan jika status suhu harian bagi cuaca panas berada pada tahap amaran pertama dengan suhu tertinggi melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut.
Antara contoh aktiviti luar yang tidak sesuai dilaksanakan pada tahap suhu amaran pertama adalah merentas desa, perkhemahan, kawad, sukan dan permainan di luar bangunan serta pertanian. – BERNAMA