HomeBeritaNUFAM gesa kerajaan fokus aspek hak, perlindungan pekerja

NUFAM gesa kerajaan fokus aspek hak, perlindungan pekerja

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini digesa beri  tumpuan kepada hak dan perlindungan terutama bagi pekerja swasta sebelum hal kenaikan gaji.

Ini kerana, isu sebenar adalah soal hak dan perlindungan pekerja yang boleh menjadi masalah besar pada masa akan datang.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM), Mohd Akram Osman berkata, terdapat beberapa dasar perlindungan mengikut Akta Perkeso, tidak mampu memberi perlindungan 100 peratus atau jaminan pekerjaan kepada golongan hilang pekerjaan.

Sebaliknya katanya, ia hanya mampu membantu dengan peratusan bayaran gaji kasar selama enam bulan.

“Satu dasar baharu harus dilaksanakan demi memberi hak perlindungan kepada mereka yang telah hilang mata pencarian mereka.

“Umpama isu hutang bank, pihak bank tidak boleh menuntut hutang dari pekerja yang telah hilang pekerjaan sehingga mereka mendapat kerja atau gaji tetap. Isu ini harus diperhalusi semula oleh pihak kerajaan.

“Tidak guna jika kerajaan hanya memberi tumpuan atas hal kenaikan gaji semula walhal isu sebenar seperti hak dan perlindungan pekerja ini tetap menjadi masalah besar pada masa depan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Beliau kemudian menggesa kerajaan supaya tumpuan sama kepada isu tangga gaji dan hak perlindungan pekerja di semua syarikat swasta.

“Masih ada ramai antara pekerja di syarikat swasta tidak diberikan kenaikan gaji sehingga bertahun lamanya.

“Isu ini harus difokus semula terutama sekali kepada pekerja syarikat swasta yang tidak mendapat hak perlindungan seperti penjawat awam.

“Pekerja syarikat swasta juga tetap membayar cukai. Mereka adalah antara yang tertinggi telah memberi perkhidmatan kepada orang awam dan juga membantu dalam pembangunan ekonomi negara.

“Syarikat swasta juga harus mempunyai representasi kesatuan pekerja di mana ramai antara pekerja ini tidak mendapat hak perlindungan yang diuar-uarkan oleh kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan memberi jaminan akan melakukan penilaian semula berhubung isu gaji penjawat awam terutama di peringkat rendah yang tidak memuaskan.

Perdana Menteri berkata, komitmen itu diberikan walaupun kerajaan Madani mengambil alih negara dalam keadaan kewangan semasa yang amat parah.

Sementara itu, Mohd Akram mendedahkan, ribuan pekerja di syarikat swasta lebih terjejas dan telah dihentikan ketika COVID-19 malah ramai yang masih tidak mendapat kerja tetap atau menerima pendapatan tetap seperti dulu.

“Ramai pekerja yang diberhentikan semasa pandemik COVID-19 memberitahu NUFAM bahawa mereka hanya menerima pendapatan kurang dari RM1500 sebulan. Hutang pekerja ini juga semakin bertimbun sekian hari.

“Dalam jangka masa tujuh tahun saja, lebih hampir 10,000 pekerja dalam industri penerbangan telah diberhentikan dan hanya 10% pekerja ini telah kembali ke pekerjaan asal mereka.

“Ini menunjukkan budaya pemberhentian pekerjaan di syarikat penerbangan negara tetap berlaku pada setiap tahun.

“Nisbah pemberhentian pekerja di syarikat penerbangan lebih dinamik dan harus diambil kira juga kerana golongan yang dihentikan pekerjaan ini adalah dari golongan B40,” katanya.

Beliau menyarankan supaya Perdana Menteri boleh menyemak semula data pekerja semula dengan jabatan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Mungkin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu melihat data data ini dengan mata beliau sendiri untuk mendapat kepastian lebih,” katanya.

Katanya, agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) juga mempunyai peranan besar bagi memastikan setiap syarikat swasta ada representasi adil untuk kaum pekerja.

“KSM harus memastikan syarikat swasta mematuhi hak representasi kesatuan pekerja bagi mengelakkan isu ketidaksamaan.

“Isu seperti pembuangan pekerja secara rambang di syarikat swasta juga harus di pantau bagi mengelak hakisan kaum pekerja di syarikat swasta,” katanya.

Author

Pilihan Editor