HomeBeritaTugas wartawan berpandukan Al-Quran

Tugas wartawan berpandukan Al-Quran

IPOH: Khutbah solat Jumaat di Perak hari ini, tampil kelainan apabila tiga pengamal media diperkenankan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk diberi penghormatan menyampaikan khutbah mengenai profesion kewartawanan di masjid besar negeri serta dua masjid lain di daerah sama.

Ketiga-tiga pengamal media itu diberi peluang untuk menjelaskan dan menekankan kedudukan tersendiri profesion kewartawanan, khususnya dalam penyampaian maklumat melalui pengolahan berita yang akan mencetuskan daya fikir dan pengaruh daya tindak masyarakat.

Istimewanya, khutbah bertajuk ‘Kewartawanan: Menyempurnakan Tugas Berlandaskan Nilai-nilai Islam’ sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada 29 Mei ini itu, disampaikan bersandarkan dan berpandukan beberapa potongan ayat al-Quran.

Ia antara lain mendedahkan tugas wartawan yang dipenuhi pelbagai cabaran, kesulitan dan mendepani risiko bahaya ketika menjalankan tugas.

Sebagaimana petikan ayat 42 surah al-Baqarah, mengenai larangan mencampur-adukkan yang benar dengan yang salah sementara yang benar itu pula disembunyikan sedangkan ada pengetahuan mengenainya.

Justeru, menurut teks khutbah itu, peranan wartawan dalam menyampaikan maklumat benar merupakan satu hak dan kebebasan bersuara yang tidak seharusnya dipersendakan atau dipermainkan oleh mana-mana pihak.

Khutbah itu turut menekankan sifat benar dan jujur yang wajib diamalkan oleh wartawan dengan perkara yang benar wajib dikatakan benar manakala yang salah wajib dikatakan salah.

Berdasarkan khutbah sama, kewartawanan memiliki kedudukan tersendiri menurut berpandukan petikan ayat 22 surah al-Naml yang menceritakan sikap benar pada burung Hud-hud ketika menyampaikan berita penting kepada Nabi Sulaiman AS mengenai perihal sebuah kerajaan yang tidak beriman.

“Lalu bertindak atas berita yang sahih, Nabi Sulaiman AS mengutus perutusan dakwah kepada Ratu Balqis. Sesungguhnya dalam bahasa mudah, perbuatan menyampaikan berita yang dilakukan oleh burung Hud-hud, menyamai peranan wartawan pada hari ini.

“Berdasarkan peristiwa itu, tugas mencari, mendapatkan dan menghasilkan berita dalam apa juga saluran, baik secara tulisan, pendengaran dan penglihatan, sama ada melalui akhbar, radio dan televisyen, mahupun melalui saluran media sosial hendaklah berlandaskan kebenaran,” demikian teks khutbah itu.

Teks khutbah itu turut menitipkan beberapa peringatan kepada pengamal media, khususnya wartawan, antaranya memenuhi tanggungjawab fardu kifayah yang diamanahkan itu secara jujur, ikhlas dan berpandukan adab berlandaskan nilai-nilai Islam seperti bersikap terbuka, adil, saksama, seimbang, serta tidak memfitnah.

Selain itu, mimbar khutbah turut mengingatkan supaya wartawan menyaring maklumat yang diterima dengan maksud menyemak dan mengesahkan kesahihan maklumat seperti yang diamalkan oleh sarjana hadis ketika meriwayatkan sesuatu hadis dengan memastikan sumber dan kesahihannya sebelum disiarkan atau disebarkan atau diterima atau dipercayai.

“Oleh itu, wartawan yang mahu mendapatkan keredaan Ilahi wajib memahami, menghayati dan mengamalkan adab kewartawanan berlandaskan Islam ketika menyempurnakan tugas, terutama pada zaman yang serba mencabar ini.

“Jangan sama sekali harga diri digadaikan lalu memilih bersifat menegakkan benang basah ketika menyampaikan berita apabila kebenaran dikorbankan, kesalahan dilindungi, tarikan kebendaan dalam bentuk upah, sogokan, pangkat, jawatan dan gelaran.

“Harus menginsafi bahawa bakat menulis ialah kurniaan Ilahi. Oleh itu tidak (jangan) sama sekali menyalahgunakan bakat kurniaan Ilahi dengan membenarkan diri diperalatkan untuk menyebar fitnah kerana tarikan upah, kebendaan, ganjaran, pangkat dan jawatan,” menurut khutbah itu.

Sambutan HAWANA 2023 akan diadakan di Ipoh dari 27 hingga 29 Mei ini dengan mengangkat tema “Media Bebas, Tunjang Demokrasi” untuk memberi penekanan semula terhadap isu kebebasan media dalam menjalankan tugas mereka.

Author

Pilihan Editor